Kuala Lumpur, 6 November 2020,
Kerajaan memperuntukkan RM25 juta bagi program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik serta Beli Barangan Buatan Malaysia.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kerajaan juga meluluskan RM150 juta bagi program latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital kepada 100,000 usahawan tempatan untuk beralih kepada khidmat digital di bawah Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro.
Katanya, RM150 juta turut diperuntukkan bagi inisiatif Perbelanjaan Malaysia Dalam Talian (Shop Malaysia Online) melalui usaha sama dengan platform e-dagang utama untuk menggalakkan perbelanjaan secara dalam talian yang akan turut memanfaatkan 500,000 usahawan tempatan termasuk pengusaha produk halal dan kraf tangan.
“RM35 juta juga turut diberikan bagi mempromosi barangan dan perkhidmatan keluaran Malaysia di bawah Misi Perdagangan dan Pelaburan.
“Kesemua peruntukkan itu adalah bertujuan bagi menggalakkan penghasilan dan pembelian produk buatan tempatan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, bagi memastikan Malaysia menjadi tumpuan pelaburan terutamanya dalam pengeluaran vaksin, ubat dan peranti perubatan dalam negara, kerajaan akan memperkasa Program Perjanjian Off-Take Kementerian Kesihatan untuk menarik pelaburan ke negara ini dan potensi pengeluaran ubat dan vaksin pada masa hadapan.
“Sebagai tambahan, bagi menggalakkan syarikat pengeluar produk farmaseutikal termasuk vaksin khususnya vaksin COVID-19 untuk melabur di Malaysia, pemberian galakan kadar cukai pendapatan antaranya 0 hingga 10 peratus untuk 10 tahun pertama,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/750869/belanjawan-2021-rm25-juta-bangun-program-francais-mikro