Kuala Lumpur, 3 Sep 2020,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meneliti cadangan untuk mengurangkan modal permulaan perniagaan francais kepada hanya RM50,000 berbanding lazimnya minimum RM100,000 bagi mempermudah usahawan mikro terutama menceburi sektor itu.
Timbalan Ketua Setiausahanya, Dr Alauddin Sidal berkata, kementerian juga bercadang melaksanakan pakej francais mampu milik bernilai RM100,000 ke bawah khususnya dalam bidang makanan dan minuman (F&B).
Menurutnya, ini adalah antara fokus KPDNHEP dalam merangka hala tuju industri francais dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) pada 2021-2025 yang bertujuan merancakkan lagi pertumbuhan industri francais negara serta menggandakan nilai jualan sektor berkenaan menjelang 2025.
“Pelan hala tuju ini bersifat mesra perniagaan dan memudahkan pemegang taruh francais dari segi birokrasi.
“Ia turut menjadi usaha memulihkan industri francais yang terjejas ekoran pandemik Covid-19,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Pameran dan Persidangan Francais Maya Antarabangsa Malaysia 2020 (Virtual FIM2020) dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Francais Malaysia (MFA) ke-25 di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Alauddin juga yakin sektor francais mampu mencapai sasaran nilai jualan RM24 billion menjelang 2025 yang ditetapkan KPDNHEP.
Pada tahun lalu, nilai jualan francais meningkat 18 peratus kepada RM13 billion berbanding RM11 billion pada 2018.
Beliau berkata, model perniagaan francais juga dilihat sebagai perniagaan lebih berdaya tahan kerana mampu menghadapi krisis ekonomi akibat Covid-19.
“Sehingga kini, kami juga tidak menerima sebarang permohonan daripada francaisi dan francaisor untuk menghentikan atau menutup perniagaan masing-masing. Malah, kedua-dua pihak saling bekerjasama yang mana francaisor membantu dari segi memberi pengecualian bayaran royalti, yuran francais dan mengurangkan kos operasi francaisi,” katanya.
Setakat ini, 646 perniagaan francais berdaftar dengan Pendaftar Francais yang merangkumi 583 jenama tempatan manakala 63 mewakili jenama asing.
Pada tahun lalu, 292 pendaftaran perniagaan itu diluluskan berbanding 40 pada tahun sebelumnya.
Sumber: Harian Metro
Artikel penuh: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2020/09/617047/teliti-modal-pemula