Sinar Harian – 30 Mei 2016
ALOR SETAR – Sebanyak 813 sistem francais melibatkan pelbagai sektor telah didaftarkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerusi Program Francais Komuniti sejak 2011.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Jamil Salleh berkata jumlah berkenaan direkodkan pihaknya sejak 2011 hingga 10 April tahun ini.
“Program tersebut bagi membantu usahawan francais tempatan mengembangkan perniagaan mereka sebagai francaisor, yang akan memberi peluang kepada orang ramai melibatkan diri dalam perniagaan sebagai francaisi tanpa perlu mencipta perniagaan baharu,” katanya dalam ucapan perasmian Program Francais Komuniti Zon Utara di sini.
Dilancarkan pada Oktober 2011, program tersebut diperkenalkan dengan tujuan membuka peluang kepada masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana menceburi perniagaan francais mikro melalui pakej francais antara RM5,000 hingga RM50,000 oleh syarikat tempatan bergantung kepada jenis perniagaan.
Jamil berkata, melalui melalui penganjuran Franchise International Malaysia (FIM) 2016 awal Mei lalu pula, sebanyak RM371 juta pelaburan telah dicatatkan oleh 78 syarikat melalui 926 potensi francais.
“Ia menunjukkan peningkatan bilangan potensi francais sebanyak 19.7 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut mengenal pasti beberapa faktor berlakunya kekurangan penyertaan masyarakat dalam bidang francais seperti kekurangan modal dan pembiayaan.
“Kita sedar mengenai perkara itu dan kita wujudkan program pembangunan francais seperti francais komuniti secara khusus dengan mensasarkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Perniagaan francais dengan konsep skim francais mikro hanya memerlukan modal tidak melebihi RM50,000. Ini usaha kerajaan untuk menggalakkan syarikat mewujudkan pakej francais yang mampu diceburi segenap lapisan masyarakat,” katanya.
Katanya menerusi pakej yang disediakan oleh kerajaan diharap dapat membantu golongan belia, wanita, ibu tunggal dan pesara bagi meningkatkan pendapatan menerusi sistem francais.
Jamil berkata, program francais zon utara yang bermula sejak semalam hingga hari ini melibatkan 19 syarikat francais dan pra-francais dengan menawarkan pelbagai peluang kepada masyarakat di negeri ini.
URL : http://www.sinarharian.com.my/bisnes/813-sistem-francais-didaftarkan-sejak-2011-1.526394