BERNAMA – 16 Mei 2016
PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama)–Mahasiswa lepasan universiti digalak untuk menceburi bidang perniagaan francais secara kecil-kecilan sebagai permulaan bagi mendapatkan pengalaman sebelum meningkat maju ke peringkat seterusnya.
Timbalan Ketua Setiausaha Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Basaruddin Sadali berkata perniagaan francais terdiri daripada pelbagai jenis peringkat dan jumlah modal yang berbeza.
“Oleh itu saya galakkan untuk para graduan menyertai program berkaitan seperti Transformasi Perniagaan yang dikendalikan oleh Perbadanan Nasional Bhd (PNS) yang memberi peluang kepada peniaga untuk menjual produk-produk yang mudah,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Sehari Pendedahan Francais, Program Francais Siswa (PFS) 2016, di sini, hari ini.
Menurut Basaruddin, melalui program transformasi perniagaan tersebut, graduan akan ditempatkan di 17 syarikat francais yang mengambil bahagian seperti Nelson dan Smart Reader untuk dibimbing dan setelah tamat tempoh latihan mereka akan ditawar untuk bekerja atau mengambilalih francais.
Beliau berkata, PNS yang merupakan agensi di bawah KPDNKK juga menyediakan pinjaman sehingga 70 peratus daripada modal perniagaan kepada mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan dalam bidang francais.
“Sejak 2004, kita telah menyediakan pinjaman kepada lebih 2,000 francaisi serendah RM3,000 hingga RM25,000 dan majoritinya adalah dalam kalangan francaisi dari bidang makanan dan minuman selain bidang perkhidmatan dan pendidikan,” katanya.
Sementara itu, program PFS yang kali ketiga dianjurkan sejak 2014 itu adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai konsep perniagaan francais.
Basaruddin berkata setelah dua tahun program yang dikendalikan oleh KPDNKK dan Persatuan Francais Malaysia itu dilaksanakan, ia telah mencapai beberapa kejayaan.
Antara contohnya ialah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berjaya membuka perniagaan kiosk minuman di UUM dan merancang untuk mengembangkannya ke seluruh universiti tempatan.
“Selain itu, Universiti Malaysia (UM) juga telah membuka perniagaan makanan dinamakan FoodBox di UM pada Februari lalu,” katanya.
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1245933