Berita Harian – 16 Mei 2016
BASARUDDIN (dua dari kanan) beramah mesra bersama pelajar yang menyertai Program Francais Siswa 2016, di Putrajaya, hari ini. – Foto Samadi Ahmad
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (PFM) menganjurkan Program Francais Siswa (PFS) 2016.
Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Basaruddin Sadali, berkata seminar sehari anjuran kali ke tiga itu bertujuan memberi pendedahan awal dan meningkat kefahaman siswa mengenai konsep perniagaan francais selain menyemai minat, membentuk nilai serta budaya keusahawanan di kalangan mahasiswa.
“Penganjuran PFS ini juga dilihat sebagai pentas untuk menyediakan tenaga kerja francais yang bertauliah bagi memenuhi standard dan keperluan industri serta pemilik francais dan pengusaha francais melalui sub-program yang dilaksanakan.
“Bagi menzahirkan sasaran yang ditetapkan, KPDNKK merangka beberapa program bagi meningkat produktiviti industri francais dengan melaksanakan Program Francais Komuniti untuk mempromosi jenama francais di dalam negara.
“Ini termasuk ‘Franchise Malaysia Goes Global’ (FMGG) untuk pasaran luar negara,” katanya dalam ucapan perasmian Program Francais Siswa 2016, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Francais KPDNKK, Siti Aisah Ismail dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Mohd Latif Sarrugi.
Basaruddin turut menjelaskan, PFS bukan program berbentuk taklimat atau ceramah semata-mata, sebaliknya ia berbentuk pertandingan bagi mencungkil kreativiti dan menggilap pengetahuan peserta untuk mengetengahkan idea serta konsep perniagaan francais dalam diri masing-masing.
Pada masa yang sama, beliau menggesa mahasiswa memanfaatkan kesempatan itu untuk menambah pengetahuan serta menggilap kemahiran dalam bidang keusahawanan, sekali gus menyiapkan diri bagi menceburi bidang perniagaan selepas menamatkan pengajian di universiti.