2 Mei 2016 – Utusan Malaysia
Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Mohd Latip Sarrugi berkata, FIM2016 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersama MFA menjangkakan Korea Selatan bakal menyumbang nilai besar dalam sasaran transaksi pelaburan keseluruhan yang bernilai RM370 juta disebabkan permintaan tinggi produknya di Malaysia. Katanya, jenama-jenama francais yang terdiri daripada sektor makanan itu menawarkan konsep perniagaan francais kepada pengunjung dan bakal-bakal francaisi yang ingin menceburi dan mencari peluang perniagaan francais.
“Beberapa jenama francais Korea Selatan kini mengorak langkah untuk mengembangkan pasarannya di Malaysia berikutan penerimaan masyarakat setempat dengan produk dan perkhidmatan dari negara itu yang menyaksikan penyertaan lapan jenama francais dari Korea Selatan akan menyertai FIM 2016,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Antara syarikat dan jenama francais Korea Selatan yang akan menyertai pameran FIM 2016 bermula 6 hingga 8 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ialah Korea Agro-Fisheries & Food Trade Corporation, Mr.Pizza, Huromjuice, Seorae Galmaegi, Mapo Galmaegi dan Nolboo Budaejjigae.
Sejajar dengan penganjuran FIM 2016 itu juga, satu persidangan antarabangsa akan diadakan pada 7 Mei 2016 bagi membincangkan isu-isu semasa dan perkembangan terkini berkenaan industri francais tempatan dan luar negara. Seramai 300 peserta daripada pelbagai latar belakang dan berminat untuk menceburkan diri dalam bidang francais disasarkan untuk menyertai persidangan kali ini.
Persidangan antarabangsa pada kali ini yang bertemakan Back to basic menekankan aspek asas dalam perniagaan francais secara menyeluruh dan akan membentangkan lima topik utama yang dibincangkan oleh 15 pembentang dari luar dan dalam negara. Menurut Mohd. Latip, penganjuran Persidangan Francais Antarabangsa itu memberi unjuran positif kepada penggiat francais tempatan dengan pendedahan kepada realiti sebenar industri francais oleh para pembentang berpengalaman dari dalam dan luar negara.
Katanya, persidangan itu adalah platform terbaik bagi bakal usahawan dan usahawan sedia ada yang berminat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai perniagaan francais. “Mereka yang berminat untuk menyertai persidangan antarabangsa ini disarankan untuk mendaftarkan diri dengan segera kerana tempat yang disediakan adalah terhad,” ujarnya. –
URL : http://www.utusan.com.my/bisnes/usahawan/jenama-korea-selatan-sertai-fim2016-1.304521#sthash.u9B5NEeC.dpuf