BERNAMA – 30 April 2016
KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) — Lapan jenama francais dari Korea Selatan akan menyertai Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM2016) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersama Persatuan Francais Malaysia (MFA).
Pengerusi MFA, Datuk Mohd Latip Saruggi berkata penganjuran persidangan francais antarabangsa ini memberi unjuran positif kepada penggiat francais tempatan.
“Penggiat francais tempatan kita akan mendapat pendedahan kepada realiti sebenar industri francais oleh para pembentang berpengalaman dari dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pameran FIM2015 yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 6 hingga 8 Mei ini akan menampilkan syarikat dan jenama francais Korea antaranya Korea Agro-Fisheries&Food Trade Corporation, Mr. Pizza, Huromjuice, Seorae Galmaegi, Mapo Galmaegi dan Nolboo Budaejjigae.
Jenama-jenama itu menawarkan konsep perniagaan francais kepada pengunjung serta bakal-bakal francaisi yang ingin menceburi dan mencari peluang perniagaan francais.
Bersempena dengan penganjuran FIM2016, satu persidangan antarabangsa turut akan diadakan pada 7 Mei ini bagi membincangkan isu-isu semasa dan perkembangan terkini berkenaan industri francais tempatan dan luar negara.
Bertemakan “Balik Ke Asas”, persidangan ini akan menekankan aspek asas dalam perniagaan francais secara menyeluruh dan bakal membentangkan lima topik utama yang akan dibincangkan oleh 15 pembentang dari luar dan dalam negara.
Program FIM2016 dengan temanya ‘Leap Beyond the Limits’ juga menjangkakan Korea Selatan bakal menyumbang nilai besar dalam sasaran transaksi pelaburan keseluruhan yang bernilai RM370 juta atas permintaan tinggi produknya di Malaysia.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai program FIM2016 sila layari laman web www.mfa.org.my/fim2016
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1240768