BERNAMA – 25 APRIL 2016
KOTA BAHARU, 23 April (Bernama) — Francaisi diminta untuk mendaftar dengan Bahagian Francais Kementeriaan Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi membolehkan mereka mendapat bantuan memajukan perniagaan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Francais dan Kepenggunaan) Kementerian itu Datuk Razali Othman berkata sehingga kini, seramai 813 francaisi sudah berdaftar dengan bahagian tersebut di seluruh negara sejak program Francais Komuniti di perkenalkan pada 2011.
“Kami mengetahui masih ramai yang sudah memulakan perniagaan (Francais) tetapi tidak mendaftar menyebabkan kesukaran bagi kami mengatasi isu dan permasalahan yang dibangkitkan oleh mereka di kemudian hari,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Francais Komuniti Zon Timur 2016 di sini, hari ini.
Razali berkata jika francaisi tidak mendaftar, akan menyukarkan pihak KPNDKK untuk mengetahui pencapaian semasa perniagaan mereka dan memperbetulkan kelemahan yang dihadapi.
“Jika mereka mendaftar, kami boleh menyediakan pelan strategik untuk mereka meningkatkan perniagaan yang dicuburi itu,” katanya.
Beliau berkata pihaknya menyasarkan 1,000 francaisi mendaftar dengan bahagian tersebut menjelang tahun 2020.
Mengenai Program Francais Komuniti itu, beliau berkata ia bertujuan untuk memberi peluang dan galakan kepada usahawan tempatan daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana menceburi perniagaan francais untuk menambah pendapatan.
Beliau berkata usahawan digalakkan untuk menceburi perniagaan francais kerana sistem perniagaan ini lebih sistematik di samping mempunyai khidmat nasihat serta bimbingan dari pihak francaisor.
Sempena program berkenaan, kementerian itu turut menganjurkan Klinik Francais yang disertai 300 orang peserta di mana mereka berpeluang mendengar penerangan mengenai sistem perniagaan tersebut serta perkongsian kejayaan daripada pemilik syarikat francais yang telah berjaya.
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1238560