Sinar Harian – 21 April 2016
ATAS keprihatinan terhadap kos sara hidup yang meningkat di negara ini, jenama piza kegemaran ramai, Domino’s Pizza, memperuntukkan RM1.4 juta untuk memberikan bonus dan lebih nilai ringgit kepada pelanggannya.
Menerusi kempen Bonus for All, pelanggan dapat menebus baucar bernilai RM3, RM8 dan RM15 terhadap tawaran promosi disediakan di seluruh cawangan sehingga 31 Mei ini.
Pengurus Besar Kanan dan Operasi Domino’s Pizza Malaysia, Shamsul Amree Ab Rahman berkata, kempen ini sebagai penghargaan buat pelanggan yang selama ini setia menyokong Domino’s Pizza.
“Kempen ini berlangsung selama enam minggu dan baucar boleh didapati di semua cawangan Domino’s Pizza,” katanya.
Jelasnya, baucar tersebut boleh digunakan bersama tawaran promosi yang disediakan, yang mana ia memberikan lebih nilai ringgit kepada pelanggan.
“Selain kempen ini, kami turut melancarkan program komuniti, Unsung Heroes, bagi menghargai pengorbanan dan perjuangan mereka terhadap keluarga dan sesebuah organisasi,” katanya yang turut melancarkan cawangan baharu Domino’s Pizza ke-150 di Seksyen 14, Petaling Jaya, semalam.
Di bawah pengurusan Dommal Food Services Sdn Bhd, Shamsul Amree berkata, pertambahan cawangan Domino’s Pizza, membuktikan perniagaan francais makanan ini semakin mendapat sambutan.
“Seiring taglinenya, ‘the world pizza delivery expert’, maka kepantasan servis penghantaran tetap menjadi keutamaan. Kami yakin cawangan Domino’s Pizza akan bertambah dari tahun ke tahun,” katanya.
URL: http://www.sinarharian.com.my/bisnes/domino-s-pizza-lancar-kempen-bonus-for-all-1.511828