Bernama – 22 April 2016
KINI MASANYA…Timbalan Ketua Eksekutif MATRADE Susila Devi (tengah) semasa sidang media pada seminar EFDP baru-baru ini. Turut hadir pengerusi MFA Datuk Mohd Latip Sarrugi (kiri) dan pengasas D’Tandoor Datuk Malik Abdullah (kanan). Foto ZackZaini fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR (Bernama) — Francais merupakan model perniagaan yang menguntungkan berjuta-juta syarikat di seluruh dunia, dengan setiap francaisi mempunyai kisah kejayaannya tersendiri. Pertumbuhannya yang menggalakkan di Malaysia disebabkan popularitinya sebagai cara terbaik dalam menjalankan perniagaan.
Kerajaan melalui Perbadanan Nasional Berhad (PNS) telah mengambil langkah untuk menerajui usaha memupuk dan membangunkan industri francais tempatan, manakala Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyediakan rantaian nilai tambahan sebagai jentera mempromosikan perniagaan francais Malaysia.
Setakat ini, 61 francaisor telah mengembangkan perniagaan atau jenama mereka dengan 2,400 cawangan di 55 buah negara, kata Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) Datuk Mohd Latip Sarrugi.
Di Malaysia, terdapat 1,123 francais yang berdaftar di bawah MFA, termasuk francaisor, francaisi utama, francaisi milik francaisor asing dan francaisor asing.
Semasa ucapan Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM20 juta di bawah Penambahan Skim Pembangunan Francais (EFDP) melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan MFA.
EFDP adalah penambahan Program Pembangunan Francais (FDP), yang diasaskan untuk memupuk dan menggalakkan pertumbuhan eksport francais ke luar negara.
MFA SASAR 10-15 PERATUS
Mohd Latip berkata, daripada 2,400 cawangan dengan jenama berbeza, kira-kira 300 dijangka memperluaskan pasaran ke ASEAN.
“Terdapat peruntukan RM2 juta setiap tahun di bawah EFDP untuk membantu perniagaan mereka di luar negara,” katanya selepas seminar EFDP sehari di Menara MATRADE di sini baru-baru ini. MFA, katanya, dijangka mengembangkan cawangan francais tempatan sehingga 10 hingga 15 peratus tahun ini bagi memfaatkan peluang di luar negara.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Susila Devi berkata, EFDP bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai peluang perniagaan kepada francais Malaysia untuk berkembang ke pasaran antarabangsa dan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran mereka dalam strategi penembusan pasaran.
“Kami berbangga kerana terdapat banyak jenama francais Malaysia yang berjaya di seluruh dunia, khususnya di ASEAN, di antaranya ialah Marrybrown, Papparich, Secret Recipe, D Tandoor, Chicken Rice Shop, Kumon, Nelson s, Global Art & Creative, Smart Reader, Sports Planet, Tomei, Poney dan Q-Dees, katanya.
“Kami percaya francais tempatan yang lain juga mempunyai potensi yang besar untuk meneroka pasaran antarabangsa memandangkan kini terdapat lebih 61 francais Malaysia di 55 buah negara,” katanya, sambil menambah, mereka telah menjenamakan nama negara sehingga ke peringkat global.
61 JENAMA MALAYSIA
Susila menyarankan syarikat-syarikat Malaysia supaya menggunakan kemudahan 46 pejabat MATRADE di luar negara, khususnya di ASEAN, bagi memperluaskan perniagaan francais mereka. Agensi ini, katanya, akan terus membantu mereka kerana bidang francais merupakan antara platform untuk mempelbagaikan eksport produk dan perkhidmatan dari Malaysia.
MATRADE telah mengatur 150 program, termasuk satu dalam bidang francais untuk tahun ini, katanya, dengan menambah, dari sejumlah tersebut, 85 adalah untuk promosi eksport.
“Sekiranya terdapat program yang tidak sesuai dengan kegiatan atau pasaran anda, jangan bimbang. Kami menyokong setiap aktiviti yang dikendalikan di luar negara kerana 46 pejabat kami di seluruh dunia, termasuk Rusia, akan membantu anda,” katanya pada seminar EFDP tersebut.
“Kami boleh mengubahsuai garis panduan dan kriteria untuk memenuhi kehendak anda,” katanya, dengan menasihati syarikat yang berminat supaya mengukuhkan perniagaan mereka di Malaysia sebelum melebarkan sayap mereka ke luar negara.
Maklum balas dari Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Myanmar Jonathan Rao menunjukkan terdapat banyak peluang yang boleh diterokai oleh syarikat Malaysia bagi memajukan industri francais anggota ASEAN tersebut, kata Susila. Sekurang-kurangnya tiga syarikat Malaysia telah mengunjungi Myanmar bagi mengkaji potensi pasaran, ujar beliau.
PELUANG DI INDIA, CHILE
“Kami menerima permintaan dari Myanmar, India dan Chile untuk industri francais, terutamanya dalam sektor penjagaan kesihatan, pendidikan, spa serta pembinaan dan kami berharap francaisor tempatan akan merebut peluang ini,” katanya.
Beliau juga menyenaraikan India sebagai pasaran matang, dengan lebih 3,000 syarikat francais yang beroperasi, tetapi hanya beberapa syarikat Malaysia sahaja yang berani memperluaskan perniagaan mereka di sana.
India sedang menggalakkan syarikat asing melabur dalam industri francais di negaranya, katanya. Keutamaan diberikan untuk memaju sektor peruncitan, dan tidak terhad kepada sektor makanan dan minuman, seperti penjagaan kesihatan.
Pasaran jauh yang boleh diterokai ialah Chile, anggota Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), kata Susila.
“Platform untuk menjalin hubungan perniagaan dengan Chile sudahpun diwujudkan, kerana di bawah perjanjian perdagangan bebas di antara Malaysia dengan Chile, hampir 92 peratus eksport ke Chile dikecualikan cukai.
Yang penting, anda perlu teliti dengan pelan perniagaan anda,” ujarnya.
“Terdapat peluang di pasaran rantauan seperti India, Bangladesh, Pakistan dan Latin Amerika. Pejabat perdagangan kami menyediakan maklumat dan pihak yang boleh anda hubungi di pasaran yang ingin ditembusi. Kami menyediakan saluran perdagangan untuk mengantarabangsakan perniagaan anda,” kata Susila, sambil memberi contoh Marrybrown sebgai mentor bagi syarikat-syarikat memulakan perniagaan dalam industri francais.
AWAL DALAM SEKTOR FRANCAIS
Susila berkata Malaysia merupakan antara paling awal di kalangan negara ASEAN yang menceburi sektor francais, dengan sistem kawal selia yang kukuh, persatuan yang mantap dan kementerian yang mengawal pertumbuhan industri tersebut.
“Berikutan ekosistem yang kukuh, pelaburan akan mengalir. Lebih mudah bagi syarikat Malaysia menerokai pasaran luar negara manakala syarikat asing boleh memperluaskan operasi mereka di sini.
Ia menguntungkan semua pihak kerana ia mewujudkan peluang bagi syarikat memperluaskan pasaran dalam sektor perkhidmatan. Sektor pelancongan juga akan merangsang pertumbuhan industri francais. Para pelancong yang datang ke Malaysia akan mencari produk dan perkhidmatan yang mereka perolehi sekembalinya mereka ke negara masing-masing,” kata Susila.
Mengenai kesan dari kelembapan ekonomi terhadap industri francais, Mohd Latip berkata: “Saya berpendapat ini adalah ujian bagi francaisor dan francaisi mempertahankan perniagaan mereka semasa ekonomi yang mencabar.”
“Kami sentiasa menasihati para anggota supaya mengurangkan kos perbelanjaan supaya kita dapat mengharungi keadaan ekonomi yang tidak menentu ini. Masyarakat umum faham. Inilah masanya francaisor dan francaisi berpadu tenaga untuk mempertahankan industri ini khususnya jenama mereka sendiri,” katanya.
BANTU FRANCAISI
Pengasas dan Pengarah Urusan D’Tandoor Datuk Abdul Malik Abdullah berkata: “Memang tidak disangkal lagi, kelembapan ekonomi memberi kesan kepada industri francais. Tidak seorang pun yang tidak terkesan dengan keadaan ekonomi yang lembab.”
“Semasa ekonomi lembab, masyarakat mengawal perbelanjaan kerana mereka bimbang keadaan akan menjadi bertambah buruk. Oleh itu, mereka mula menyimpan. Jika masyarakat tidak berbelanja, kerajaan pun tidak berbelanja. Ini menghasilkan tindak balas rantai. Apabila perniagaan terjejas, pekerja turut terjejas. Akibatnya, pengangguran meningkat. Apabila ramai yang kehilangan pekerjaan, kadar jenayah pun naik. Ia tidak memberi manfaat kepada sesiapa pun.”
“Bagaimanapun, sebagai francaisor, kami membantu francaisi dari pelbagai sudut. Tahun ini, menu ketiga kami di semua cawangan diberi percuma kepada pelanggan. Kos percetakan ditanggung oleh kami. Kami tidak menjimatkan wang untuk promosi; sebaliknya, kami menambah peruntukan untuk iklan.”
Beliau berkata “Ramalan peribadi yang negatif adalah berbahaya kerana ia boleh memberi tindak balas rantai untuk menjatuhkan industri. Bagi D’Tandoor, perniagaan kami meningkat tahun lalu. Yang penting, kita perlu berinovasi dan mempelbagaikan produk.Kami telah memperkenalkan makanan Arab dan barat dalam menu kami.”
Mengenai pasaran yang menguntungkan, Susila berkata syarikat Malaysia perlu menumpukan pada ASEAN memandangkan kedudukannya yang berdekatan dan banyak sekatan perdagangan dihapuskan.
“Setiap negara mempunyai keperluan berbeza, tetapi terdapat peluang-peluang untuk setiap sektor. Kami boleh memberi penilaian pasaran untuk syarikat yang berminat meneroka pasaran luar negara,” kata Susila.
TAWARAN LATIHAN
Abdul Malik yang juga penasihat kehormat Persekutuan Rantaian Runcit dan Francais ASEAN berkata, syarikatnya menawarkan latihan untuk mereka yang diberhentikan kerja. Beliau memberi contoh, terdapat peluang pekerjaan untuk kakitangan Malaysia Airlines (MAS) yang diberhentikan kerja di bawah program penstrukturan syarikat penerbangan tersebut.
Mohd Latip berkata, persatuannya mempunyai hubungan dengan 45 negara di bawah Konfederasi Francais Dunia di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, Australia, Kanada, China, Mesir, Perancis, Jepun dan India.
Perunding francais perlu juga peka dan selari dengan perkembangan semasa, khususnya pelan induk francais kerajaan dan undang-undang dan peraturan negara yang mereka beroperasi. Setiap wilayah mempunyai perundangan berbeza, katanya.
Abdul Malik berkata bagi mereka yang berhasrat menembuasi pasaran ASEAN, D’Tandoor boleh bekerjasama dengan MATRADE bagi mempermudahkan perniagaan francais di rantau ini, khususnya berkaitan pendaftaran jenama dan pengesahan rakan niaga bona fide (ikhlas dan jujur).
“Cara terbaik mempromosi jenama anda di peringkat antarabangsa adalah melalui persatuan dan di bawah naungan kementerian serta penyertaan di pameran anjuran MATRADE dan KPDNKK,” katanya. D’Tandoor berjaya membuka restoran di Arab Saudi melalui pameran MATRADE dan KPDNKK.
KINI MASANYA
Mohd Latip dari MFA berkata kebanyakan francaisor terdiri daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Sesetengahnya, seperti Marrybrown dan Secret Recipe telahpun dinaiktaraf dari status PKS, dan menambah, industri francais menghasilkan jumlah dagangan RM26 bilion setahun di pasaran tempatan.
Susila berkata “Francaisor tidak semestinya syarikat besar. Jenama anda yang menaikkan nama syarikat. Syarikat besar itu adalah pihak lain yang memiliki lesen untuk mengurus syarikat anda.”
Ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang memiliki kepintaran berniaga, bersedia menjalani latihan formal dan berkongsi ilmu kerana mentor berada di sekeliling kita. Marilah kita menyampaikan mesej mengenai perniagaan francais ini. Ia bukan sahaja untuk syarikat besar, tetapi sesiapa sahaja boleh menyertai sektor francais. Ia adalah platform bagi untuk kita memperluaskan perniagaan.”
Beliau berkata MATRADE telah menubuhkan Pusat Bersepadu Eksport (ICE) untuk syarikat Malaysia memperoleh maklumat dari pelbagai agensi. Ia terletak di paras 2 Menara MATRADE dan dibuka dua kali seminggu setiap Rabu dan Khamis.
“Ini merupakan satu lagi inisiatif kerajaan untuk menyediakan kemudahan khusus untuk PKS menembusi pasaran eksport. Kami sedia memberikan kemudahan yang mereka kehendaki, tetapi pada akhirnya, sektor swasta perlu memacu usaha, khususnya ke negara ASEAN, yang mempunyai budaya yang sama.
Masa untuk eksport telah tiba. Pasaran akan mengingati jenama yang kekal semasa kejatuhan dan peningkatan ekonomi. Masa terbaik untuk melabur dalam promosi dan penjenamaan bukannya waktu ekonomi meningkat, tetapi semasa kejatuhan ekonomi,” kata Susila.
URL: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/fe/newsfeatures.php?id=1237363