BERNAMA – 29 FEBRUARI 2016
KANGAR, 27 Feb (Bernama) — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menyarankan usahawan supaya memanfaatkan sepenuhnya konsep perniagaan francais bagi membina dan memantapkan rangkaian perniagaan mereka.
Baginda bertitah sistem francais, yang dibina melalui rangkaian yang mantap dan teratur, sukar digugat oleh pesaing sekiranya usahawan memahami okjektifnya.
Justeru itu, baginda mahu mereka memahami pengurusan risiko perniagaan sistem francais bagi meminimumkan kerugian dan mencapai tahap yang berkesan.
“Pengurusan risiko melibatkan perkara-perkara yang terdedah seperti lambakan produk, stok lapuk, pusingan kakitangan, produk tidak berkualiti, penjenamaan, kecairan tunai dan pengurusan kewangan yang lemah,” titah baginda semasa melancarkan ‘Program Amal Berbasikal Negeri Perlis’ anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi MFA Datuk Latip Sarrugi dan Naib Pengerusi MFA Datuk Seri Dr Richard Ong Thiam Boon.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah melalui sistem francais, kecekapan perniagaan dapat ditingkatkan manakala kos pengurusan berupaya diminimakan oleh francaisor yang merancang pelan perniagaan.
Kekukuhan rangkaian francaisi yang aktif membolehkan francaisor merancang pembelian bahan secara pukal, berkongsi kos bagi aktiviti pemasaran dan membina jenama untuk menarik perhatian pelanggan, titah baginda.
Program itu disertai 100 penggiat francais dari Kuala Lumpur dan Kelab Berbasikal TTG Perlis yang diketuai Tuanku Syed Faizuddin dengan mereka berkayuh sejauh 12 kilometer dari Sekolah Kebangsaan Putra Kangar dan berakhir di Yayasan Saad.
Sepanjang kayuhan itu baginda dan peserta singgah di enam rumah asnaf terpilih bagi menyampaikan zakat sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di bawah program ‘MAIPs Peduli-Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ 2016.
Mereka juga singgah di Masjid Kechor bagi menyampaikan zakat sumbangan MAIPs kepada 30 orang lagi asnaf dalam kariah Masjid Kechor dan Masjid Padang Katong, kedua-duanya dalam kawasan Kangar.
MFA menyumbangkan RM20,000 dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada Sekolah Rendah Agama Attarbiyah Al-Islamiyah (SRAATI); Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mak Teh; Asrama Yayasan Saad; dan Rumah Seri Kenangan Kangar.
— BERNAMA
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1219881