Kuala Lumpur, 3 November 2020,
Rangkaian restoran makanan halal segera terbesar tempatan, Marrybrown memperkenalkan menu terbaharunya bagi memenuhi cita rasa pelanggan, khususnya penggemar rasa pedas.
Dikenali sebagai MB Mala Fried Chicken, menu hidangan ini ditawarkan mulai 28 Oktober lalu hingga 13 Disember depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown, Datuk Joshua Liew, berkata menu terbaharu ini adalah berkonsepkan “sesuatu yang berbeza” kepada pelanggan.
“Ia gabungan lada Sichuan diperap dengan cili kering khas buat pengalaman gastronomi yang luar biasa. Peminat Mala dapat menikmati kehangatan berbisa pada gigitan pertama ayam goreng MALA-tup menjanjikan rasa pedas yang memukau,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, inspirasi utama dalam menghasilkan menu terbaharu ini datang daripada minat dan rasa cinta anak-anak Malaysia pada santapan penuh rempah sambil mengikuti trend ledakan Mala.
“Bagi rakyat Malaysia mereka tidak dapat dipisahkan dengan cita rasa rempah ratus dalam makanan harian.
“Sama ada dalam nasi lemak, atau hidangan tumisan seharian, rakyat Malaysia sentiasa memerlukan rempah ratus untuk melazatkan setiap hidangan,” katanya.
MB Mala Fried Chicken ditawarkan dalam dua pilihan kombo iaitu Ayam Goreng dua ketul atau Ayam Goreng tiga ketul dengan – kedua-dua kombo dihidangkan bersama Mashed Potato dan Vegetable Salad.
Bagi yang inginkan kepedasan sederhana, mereka boleh menikmati Kombo Bubur Ayam MALA dengan bubur bagi menghilangkan rasa kepedasan Ayam Goreng Mala.
Mereka yang berani menyahut cabaran untuk pengalaman Mala sepenuhnya, pilihan keempat, Mala Box Meal adalah pilihan terbaik dengan gabungan Ayam Goreng Mala, Chicken Burger, Vegetable Salad, dan gegelang bawang rangup yang digemari ramai.
Set kombo ini juga dihidangkan bersama kentang goreng Mala.
Harga bermula dari RM14.60 dan ke atas, setiap hidangan kombo disajikan bersama minuman.
Marrybrown kini mempunyai lebih 500 restoran di 16 negara dengan penyediaan standard yang tertinggi dalam kualiti, perkhidmatan dan kebersihan.
Sumber: Berita Harian
Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/selera/2020/11/749474/marrybrown-perkenal-menu-ayam-goreng-pedas