Kuala Lumpur, 7 November 2020,
Belanjawan 2021 dapat menyuntik semangat baharu semua pihak dalam rantaian ekonomi domestik terutama 32 juta pengguna di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata belanjawan yang dibentangkan semalam, memperlihatkan keprihatinan kerajaan membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat apabila masih mengekalkan beberapa program subsidi utama bagi mendukung daya tahan ekonomi negara.
Katanya, beberapa inisiatif bersifat ‘people centric’ (mengutamakan rakyat) dalam belanjawan diyakini berupaya membantu rakyat mengharungi cabaran ekonomi semasa sehingga keadaan pulih sepenuhnya.
“Selain itu, program pembangunan francais mikro dan mampu milik (RM5 juta), pembangunan usahawan/pembangunan francais (RM3.8 juta) dan program beli barangan buatan Malaysia (RM20 juta),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Alexander berkata, program pengedaran barang perlu, LPG dan Community Drumming akan diperluaskan ke 34 kawasan baharu di seluruh negara tahun hadapan, yang memberi manfaat kepada penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Melalui inisiatif itu, katanya, barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, gas LPG, petrol RON95 dan diesel dapat dinikmati oleh lebih 1.1 juta rakyat pada harga yang dikawal.
“Pada masa sama, KPDNHEP turut memperkenalkan program pembangunan francais mikro dan mampu milik yang akan membuka peluang kepada rakyat untuk menceburi bidang francais, khususnya francais mikro serta mampu milik sebagai inisiatif tambahan kepada program pembangunan usahawan/pembangunan francais.
“Program Beli Barangan Malaysia juga boleh dimanfaatkan dan produk tempatan dapat dikembangkan, khususnya produk dari Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/751415/belanjawan-2021-suntik-semangat-baharu-ekonomi-domestik