Kuala Lumpur, 4 Nov 2020,
Persatuan Francais Malaysia menyarankan kepada Kerajaan agar dapat memberi tumpuan dan peruntukkan dalam Belanjawan 2021 kepada Industri francais tempatan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara dalam suasana pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak bulan Mac 2020 yang lalu.
Pengerusi MFA, Datuk Dr Radzali Hassan berkata syarikat francais tempatan atau francaisor terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) amat memerlukan sokongan dan bantuan kewangan daripada kerajaan dari segi penyewaan premis perniagaan dan penggajian pekerja terutamanya pekerja di bahagian operasi untuk terus bertahan dalam keadaan yang sukar ini.
“Walaupun para usahawan francais boleh mendapatkan sebahagian bantuan kewangan daripada program PENJANA kini, namun ianya tidak dapat menampung untuk meringankan cabaran usahawan agar dapat terus bertahan dalam perniagaan. MFA yakin sekiranya kerajaan dapat meneruskan program subsidi upah di bawah PENJANA sebanyak RM600 sebulan sehingga Disember 2021 serta melanjutkan moratarium bagi pembayaran pinjaman dan pembiayaan ke atas perniagaan sehingga Jun 2021, ianya dapat memberi kelegaan dan membantu meringankan beban aliran tunai perniagaan” katanya.
Mengulas lanjut, Radzali berkata bahawa MFA juga berharap agar kerajaan dapat melonggarkan syarat pinjaman atau pembiayaan perniagaan bagi modal kerja di mana-mana agensi berkaitan. Selain itu, pihak kerajaan juga digesa menggalakkan lebih banyak bank untuk menawarkan skim pembiayaan francais kepada usahawan yang mengubah perniagaan sedia ada kepada model perniagaan francais atau francaisor dan francaisi sedia ada yang mempunyai trek rekod yang baik, memandangkan perniagaan francais merupakan perniagaan yang mempunyai risiko rendah berbanding model perniagaan yang lain.
Ketiga, fi francais yang ditanggung oleh francaisi dibenarkan potongan cukai dalam usaha untuk menyokong pembangunan industri francais tempatan serta memperkasakan jenama Malaysia.
“Insentif potongan cukai ini diharapkan dapat menggalakan lagi pertumbuhan ekonomi negara dan membuka peluang kepada masyarakat yang berminat meniaga atau mereka yang kehilangan pekerjaan untuk menceburi bidang perniagaan terutamanya perniagaan francais,” katanya.
Keempat, menyediakan peruntukan untuk tujuan pendidikan kepada golongan sasar seperti usahawan, belia, ibu tunggal serta orang kelainan upaya supaya golongan ini celik francais dan berpeluang untuk menjana pendapatan melalui perniagaan francais bukan hanya untuk diri sendiri malahan untuk masyarakat setempat melalui perniagaan hiliran dan peluang pekerjaan.
MFA mendapati bahawa banyak perbezaan persepsi dan fahaman yang berlaku di kalangan masyarakat mengenai francais, walaupun minat untuk berniaga francais sentiasa wujud. Sehubungan itu peruntukkan pendidikan untuk golongan bersasar terutamanya wanita dan orang kelainan upaya amat diperlukan bagi memperkasakan mereka dalam sektor ekonomi.
“MFA juga berharap agar perniagaan francais bukan sektor berasaskan makanan dan minuman diberikan perhatian untuk mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara terutamanya negara Indonesia, Filipina, Singapura dan negara ASEAN yang lain kerana terdapat potensi perniagaan yang besar di negara-negara tersebut,” kata Radzali.
Beliau berkata, lebih 50 peratus perniagaan francais Malaysia berasaskan makanan dan minuman telah pun menembusi lebih daripada 60 negara. Sehubungan itu, amatlah perlu sekiranya perniagaan francais daripada sektor lain diberi lebih pendedahan dan peluang untuk bersaing di pasaran antarabangsa.
Model perniagaan francais telah pun mempunyai manual operasi standard, prosedur dan pengalaman daripada pemilik perniagaan serta perkhidmatan sokongan yang dapat memberi kelebihan kepada pelabur untuk menjalankan perniagaan francais tersebut. Sekiranya lebih banyak perniagaan francais dikembangkan ke luar negara, maka secara tak lansung ianya dapat membantu menyumbang kepada ekonomi apabila berlaku pengaliran wang masuk ke dalam negara melalui fi francais dan eksport barangan tempatan.
Sumber: BERNAMA
Artikel Penuh: https://www.bernama.com/bm/press/news.php?id=1897050