Kuala Lumpur, 5 Ogos 2020,
Persatuan Francais Malaysia (MFA) akan menganjurkan Malam Anugerah Francais Malaysia 2020, pada April 2021 sebagai pengiktirafan terhadap penggiat francais yang memajukan konsep perniagaan francais di Malaysia.
Pengurus Besar Pengurusan Strategik Wan Muhammad Zainal Wan Yahya berkata malam anugerah yang diadakan buat kali ke-23 dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu bertujuan menggalakkan inovasi tempatan dalam usaha tahap kemajuan perniagaan dan sektor fancais lebih berkualiti.
Anugerah itu mempertandingkan beberapa kategori termasuk Kategori Sistem Francais, Kategori Francaisi, Kategori Terbuka dan Kategori Media. Calon-calon pemenang akan dinilai panel penilai, yang terdiri daripada agensi badan korporat, profesional dan institusi pengajian tinggi awam.
“Ia berdasarkan beberapa kriteria penting seperti sistem francais, jumlah pertumbuhan francaisi, nilai jualan tahunan serta penyelidikan dan inovasi yang telah dilaksanakan,” katanya semasa sesi webinar Taklimat Anugerah Francais Malaysia 2020 di sini, hari ini.
Jelasnya, sebanyak 19 anugerah bakal dipertandingkan seperti Francaisor Terbaik, Francaisor Harapan Terbaik, Francaisor Induk Terbaik, Francaisor Antarabangsa Terbaik, Francaisi Malaysia Terbaik, Francaisi Antarabangsa Terbaik, Francaisi Harapan Malaysia Terbaik dan Francaisi Harapan Antarabangsa Terbaik.
Wan Muhammad Zainal berkata antara syarat penyertaan adalah syarikat perlu berdaftar di bawah Akta Francais 1998, menjalankan perniagaan francais tidak melebihi empat tahun bagi Kategori Harapan, manakala perniagaan francais tidak kurang dua tahun bagi Kategori Terbuka serta mempunyai akaun teraudit bagi tahun 2017 hingga 2019.
Bagi Kategori Terbuka, antara anugerah yang dipertandingkan adalah Tanggungjawab Sosial Francais Terbaik, Majikan Francais Terbaik, Inovasi Francais Terbaik, Rancangan Perniagaan Francais Terbaik manakala Kategori Media adalah Kewartawanan Francais Terbaik dan Penulisan Artikel Industri Francais Terbaik.
Penyertaan terbuka kepada semua ahli MFA dengan mengisi borang penyertaan melalui laman web http://efdpapps.mfa.org.my/ dan tarikh tutup pencalonan pada 30 Sept 2020.
Kesemua pemenang akan membawa pulang Trofi Anugerah Francais Malaysia 2020, sijil pengiktirafan, pakej liputan media serta Program Latihan Francais percuma.
Sumber: BERNAMA