Kuala Lumpur, 13 Ogos 2020,
Anugerah Asset Triple A 2020 menobatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Islamic Bhd, Datuk Mohamed Rafique Merican sebagai Tokoh Bank Islam Terbaik Asia Pasifik atas sumbangan besar beliau kepada industri kewangan Islam di rantau ini.
Maybank Islamic juga memenangi empat anugerah lain iaitu Bank Islam Terbaik dalam kategori Asia Pasifik, Malaysia dan Singapura serta Bank Runcit Terbaik di Malaysia.
“Anugerah Tokoh Bank Islam Terbaik dianugerahkan kepada seseorang individu namun kejayaan dan pengiktirafan ini adalah kejayaan keseluruhan warga kerja Maybank Islamic. Ini benar-benar mencerminkan kerja keras, usaha dan komitmen mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kejayaan perniagaan perbankan Islam Maybank juga adalah dengan sokongan kuat dan teguh daripada semua sektor dalam Kumpulan Maybank.
Pengiktirafan tahunan paling berprestij oleh majalah kewangan Triple A yang berpangkalan di Hong Kong itu adalah sebagai penghargaan kepada industri perbankan, kewangan, perbendaharaan dan pasaran modal.
Mohamed Rafique yang menjadi CEO Maybank Islamic sejak Julai 2016 itu juga adakag Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perbankan Islam Maybank yang bertanggungjawab meneraju pertumbuhan francais dan pengembangan wilayah Perbankan Islam kumpulan berkenaan.
Pada Julai tahun lalu, Maybank Islamic membuka cawangan luar negara pertamanya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menjadikannya bank Islam Malaysia pertama mempunyai kehadiran di luar negara.
Sumber: Berita Harian
Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2020/08/720885/ceo-maybank-islamic-dinobat-tokoh-bank-islam-terbaik-asia-pasifik