5 Ogos 2020,
TIDAK kira di mana sahaja rakyat Malaysia berada, pasti tidak akan melupakan hidangan yang mewakili asal usul, budaya dan identiti Malaysia iaitu nasi lemak.
Justeru, dalam meraikan kebanggaan sajian gastronomi negara (dan juga sebagai dorongan pasca Covid-19), Marrybrown Malaysia (MB) mengisytiharkan setiap 1 Ogos sebagai Hari Nasi Lemak Marrybrown di seluruh negara.
Hari perdana itu diraikan dengan mengedarkan lebih daripada 10,000 kotak hidangan berkenaan kepada rakyat Malaysia yang hadir di rangkaian makanan segera itu pada Sabtu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown, Datuk Joshua Liew berkata, hidangan itu sering menjadi hidangan pertama yang terlintas di fikiran ketika seseorang membayangkan mengenai Malaysia.
Selain itu, ia juga antara hidangan pertama yang diinginkan rakyat Malaysia selepas menjadi perantau untuk sekian lama.
Kata Liew, nasi lemak mereka turut diiktiraf MOST NUMBER OF NASI LEMAK PACKS DISTRIBUTED IN MULTIPLE LOCATIONS oleh Malaysia Book of Records (MBOR), ia melambangkan komitmen pihaknya untuk memberi rakyat Malaysia makanan yang mereka gemari dan sambutan seperti itu patut dikongsi bersama.
“Nasi lemak menggambarkan perpaduan dan keharmonian Malaysia kerana setiap ramuannya sama penting seperti kita rakyat Malaysia yang berkembang lebih baik dalam perpaduan serta keharmonian.
“Dengan mewujudkan sentimen itu, kami dengan bangga memberi penghargaan kepada hidangan unik itu dengan mengisytiharkan 1 Ogos sebagai Hari Nasi Lemak kami bermula tahun ini,” katanya.
Menurut Liew lagi, sebagai tanda penghargaan pemberian 10,000 kotak nasi lemak adalah perkara yang sangat bermakna bagi pihaknya kerana ia bukan sahaja sebagai pemberian ‘pertama’ tetapi sebagai cara penghargaan dan ucapan terima kasih kepada penggemar setia.
“Tahun ini, Malaysia secara keseluruhan terjejas, tetapi seperti sepinggan nasi lemak, perpaduan, kerjasama dan optimisme kita untuk permulaan baharu membolehkan negara terus maju.
“Kami bangga dapat menyambut hari istimewa ini kerana ia bukan sahaja meraikan hidangan kebanggaan negara, tetapi peringatan untuk permulaan baharu,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Artikel penuh: https://www.hmetro.com.my/WM/2020/08/607069/10000-nasi-lemak-1-ogos