Kuala Lumpur, 10 Jun 2020,
Merosot antara 70 hingga 80 peratus. Itu hasil Tinjauan Kesan Pengoperasian Francais dan Jualan Langsung oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) susulan penularan wabak Covid-19.
Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, penurunan tertinggi yang dilaporkan itu adalah dari subsektor makanan dan minuman serta pendidikan.
Katanya, kekurangan pekerja, bahan mentah disebabkan masalah logistik dan kos operasi yang terpaksa ditanggung seperti bayaran sewa serta utiliti adalah cabaran dihadapi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Katanya, pihaknya sedang meneliti beberapa inisiatif bertujuan merangsang aktiviti peruncitan dalam negeri bagi meningkatkan keyakinan pengguna berbelanja.
Rosol berkata, pembabitan pemain industri ditagih bagi memberi sokongan dan pandangan dalam sesi libat urus yang akan dilaksanakan.
“Wujud keperluan untuk sektor industri dan kerajaan bekerjasama dalam mengenal pasti langkah baharu serta prosedur operasi standard yang wajar dipatuhi bagi memastikan perniagaan dapat beroperasi dengan selamat,” katanya.
“Program interaktif secara atas talian seperti sesi pada hari ini juga akan diperbanyak bagi menggalakkan perbincangan secara maya melalui penyaluran maklumat dan perkongsian ilmu bagi memperkasakan perniagaan francais,” katanya pada Program Webinar: Pengurusan Krisis Francais Semasa PKPB tadi.
Sumber: Harian Metro
Artikel Penuh: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/06/588313/kpdnhep-bantu-pulih-aktiviti-peruncitan-dalam-negeri