Kuala Lumpur, 24 Mac 2020,
Restoran rangkaian makanan halal segera terbesar tempatan, Marrybrown tampil menghulurkan bantuan bagi memastikan petugas barisan hadapan kekal sihat dan cergas semasa menangani penularan COVID-19.
Ketua Pegawai Ekskutif Marrybrown, Datuk Joshua Liew, berkata sepanjang tempoh mencabar ini, petugas barisan hadapan adalah wira bagi memastikan rakyat selamat di samping menjamin keharmonian dan keamanan.
“Dalam kesibukan kerja, pegawai kesihatan mungkin tidak sedar untuk berehat dan mungkin juga tidak berpeluang untuk memesan makanan.
“Oleh itu, kami di Marrybrown memainkan peranan dalam menyokong wira-wira kami dalam melaksanakan usaha mereka dengan menghulurkan bantuan dari segi makanan dan juga baucar,” katanya dalam satu kenyataan.
Marrybrown baru-baru telah menyumbang kepada lebih 1,000 kakitangan kesihatan di beberapa hospital termasuk Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru; Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru; Hospital Bintulu, Sarawak; Hospital Sultanah Maliha, Langkawi; Hospital Penang; Hospital Tuanku Bainun, Ipoh; Hospital Teluk Intan, Perak; Hospital Sultan Abdul Halim, Sg. Petani; Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar; dan Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
Sumbangan turut diberikan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar Johor; sukarelawan Mercy Malaysia termasuk kakitangan perubatan dan ahli logistik yang memainkan peranan penting dalam pengawalan virus ini.
Sementara itu, Liew berkata Marrybrown kini mengamalkan langkah berjaga-jaga dari setiap aspek dengan mengekalkan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain, memeriksa suhu badan, menggunakan sanitizer, dan tidak membenarkan pelanggan memasuki restoran untuk memastikan kesihatan semua pihak.
Namun, katanya pelanggan boleh mendapatkan produk Marrybrown dengan perkhidmatan penghantaran yang selamat di setiap zon masing-masing.
“Perkhidmatan penghantaran kami mempunyai kemudahan mesra pengguna serta tersedia di kebanyakan outlet Marrybrown di seluruh Malaysia. Ia juga boleh didapati melalui pesanan dalam talian melalui Foodpanda dan Grabfood,” katanya.
Sumber: Berita Harian