KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHHEP) menyasarkan nilai potensi pelaburan sebanyak RM450 juta serta lebih daripada 15,000 pengunjung untuk Francais Antarabangsa Malaysia 2020 (FIM2020) dan Sesi Jaringan yang akan diadakan pada April depan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata FIM2019 merekodkan kira-kira RM415 juta dalam potensi pelaburan dan sehingga Disember 2019, pelaburan yang direalisasikan adalah berjumlah RM25 juta.
Francais Antarabangsa Malaysia, dipercayai menjadi pameran francais tahunan terbesar di Asia Tenggara, dianjurkan oleh Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan kerjasama pihak kementerian.
Acara tahun ini dijadualkan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 9 hingga 11 April.
FIM2020 membawa tema ‘Beyond 2020: Towards Digitalising Franchising’, mencerminkan cabaran pendigitalan yang dihadapi oleh industri francais di Malaysia dalam memodenkan fungsi sumber manusia, memenuhi tanggapan pelanggan, meningkatkan proses operasi perniagaan dan membangunkan model perniagaan digital.
“Pameran acara francais ini banyak dikuasai oleh segmen makanan dan minuman (F&B), tetapi saya akan berbincang dengan MFA mengenai kepentingan meletakkan sasaran perniagaan untuk segmen perniagaan francais yang lain seperti pakaian dan aksesori, yang juga berpotensi tinggi,” katanya kepada pemberita selepas prapelancaran FIM2020 dan Sesi Jaringan di sini hari ini.
Sumber: Berita Harian
Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/bisnes/usahawan/2020/01/648483/fim2020-sasar-potensi-pelaburan-rm450-j