UTUSAN ONLINE – 9 JUN 2016
Orang ramai beratur bagi membeli minuman dan makanan di sebuah kafe Street Churros di Korea Selatan. Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR 8 Jun – Street Churros, jenama kafe dari Korea Selatan bakal memperluaskan kehadiran ke pasaran Malaysia menerusi perjanjian lesen perniagaan francais.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Street Churros, So Sang Woo dan Pengarah Urusan Cornery FNB Sdn. Bhd, Datuk Joe Tan.
Tan berkata, pembelian lesen francais itu didorong oleh potensi bagi industri makanan dan minuman (F&B) di dalam negara untuk terus berkembang.
Katanya, syarikat memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM2.5 juta bagi membuka lima cawangan kafe Street Churros di Lembah Klang pada tahun ini.
“Pusat beli-belah adalah lokasi ideal berikutan jumlah trafik pengunjung sedia ada yang ramai dan cawangan pertama kafe Street Churros akan dibuka di IOI City Mall Putrajaya pada akhir Jun ini.
“Pembukaan setiap cawangan ini membabitkan kos pelaburan kira-kira RM500,000 bergantung kepada saiz sesebuah cawangan dan lokasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Cornery FNB merancang untuk membuka sehingga 20 cawangan kafe Street Churros di seluruh Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang.
Menurut Street Churros, pasaran Malaysia akan menjadi penghubung kepada pasaran luar negara selepas Amerika Syarikat dan Taiwan.
– See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/street-churros-dibuka-di-malaysia-1.340194#sthash.gtoAd5yM.dpuf