SINAR HARIAN – 9 JUN 2016
Shamsudin (kanan) dan Pengarah Urusan Mylea De Bayu Sdn Bhd, Norazizah Jusoh semasa majlis pelancaran
PERBADANAN Nasional Berhad (PNS) menyasarkan 300 usahawan prafrancaisi berdaya saing menyertai Program Transformasi Perniagaan (BIT) pada tahun ini.
Ketua Bahagian Operasi Perniagaannya, Shamsudin Amir berkata, setakat ini BIT melahirkan 946 usahawan baharu yang mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan melalui perniagaan prafrancaisi.
Menurutnya, sebanyak 62 syarikat menyertai program itu sejak ditubuhkan pada 2013.
“Pelbagai jenis perniagaan yang menyertai BIT antaranya makanan dan minuman, fesyen dan sebagainya. Perkembangan positif ini menunjukkan ramai usahawan-usahawan kecil mahu melihat perniagaan mereka dimajukan dan bersaing,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Koleksi Mylea Eksklusif Syawal 2016, di Menara PNS, baru-baru ini.
Katanya, PNS bertanggungjawab dalam melaksana, mengendali dan seterusnya memberi bimbingan dan khidmat nasihat kepada usahawan mengenai konsep perniagaan baharu seperti kedai bergerak dan perniagaan atas talian.
“Saya yakin, usahawan BIT mampu membantu peniaga kecil menjalankan perniagaan dengan lebih kompetitif dan efisien.
“Penglibatan lebih ramai usahawan BIT melalui program ini mampu mengurangkan kos sara hidup masyarakat dan menyumbang kepada perkembangan sektor francais negara,” katanya.
Katanya, sembilan usahawan BIT menyertai program Francais International Malaysia (FIM 2016) termasuk Mylea.
Mengulas mengenai Mylea, Shamsudin berkata, dengan 106 agen di seluruh negara, jenama Mylea akan terus menjadi pilihan masyarakat.
“Sejak Mylea berdaftar dengan BIT pada 2015, Mylea melalui proses untuk mengembangkan perniagaannya ke arah francais dan yakin syarikat ini akan menjadi francaisor,” katanya.