Bernama – 31 Mei 2016
SHAH ALAM, 27 Mei (Bernama) — Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) telah menetapkan sasaran pendapatan sebanyak RM1 bilion menjelang akhir 2018.
Pengerusinya, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, tahun ini KPS memperuntukkan RM300 juta untuk pelaburan dalam perniagaan baharu.
“Untuk mencapai pendapatan RM1 bilion, kami akan memberi tumpuan kepada pelaburan menguntungkan di samping menyasarkan aset cepat matang bagi memastikan pembayaran dividen yang mampan serta penciptaan nilai untuk pemegang saham kami,” katanya kepada pemberita pada taklimat media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, hari ini.
Menurutnya, syarikat itu telah menyusun semula portfolio pelaburan bertujuan bagi membebaskan modal dan membolehkan KPS meneruskan pengoptimuman hasil perniagaan sedia ada serta untuk memudahkan pengambilalihan baru.
“Kami telah meninggalkan perniagaan air, termasuk beban yang datang bersamanya,” katanya dengan menambah, KPS mempunyai gearan yang rendah sebanyak 0.02 peratus, yang akan membantu syarikat bergerak ke depan.
“Dengan gearan yang rendah ini kami boleh mencari pelaburan dan memberi peluang mendapatkan pembiayaan sama ada daripada pasaran kewangan atau pasaran modal,” kata Raja Idris.
Menurutnya, KPS akan menyasarkan perniagaan yang sudah menjadi peneraju pasaran atau mempunyai potensi menjadi peneraju pasaran dalam industri khusus mereka.
KPS tidak melihat kepada sektor khusus, tetapi syarikat yang matang, yang mempunyai pendapatan atau keuntungan yang sihat dan boleh mencipta nilai dengan segera, katanya.
“Kami mahu mempunyai kepentingan kawalan dalam pelaburan baharu agar kami boleh terlibat secara aktif dalam pertumbuhan perniagaan itu pada masa depan,” katanya.
Raja Idris berkata, sebelum ini pegangan KPS dalam anak syarikatnya adalah minimum dan berperingkat, tetapi selepas keluar daripada perniagaan air, KPS memutuskan ia akan menjadi syarikat pegangan pelaburan semata-mata.
Baru-baru ini dilaporkan KPS terlibat dalam industri perlesenan francais dengan pengambilalihan 60 peratus pegangan dalam perniagaan perlesenan jenama King Koil untuk US$28.8 juta (kira-kira RM115.93 juta).
“Bagi semua cadangan pelaburan perniagaan oleh pihak pengurusan, kami menekankan mengenai penciptaan nilai untuk dikemuka bersama bagi pertimbangan dan kelulusan lembaga pengarah,” katanya.
Menurutnya, syarikat itu telah menolak 62 daripada 65 cadangan urus niaga yang diterima manakala tiga lagi sedang dinilai.
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1250075