Berita Harian – 30 Mei 2016
DATUK Seri Shaharuddin Ab Moin.
KUANTAN: Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini diminta memanfaatkan kemudahan disediakan kerajaan melalui pelbagai agensinya bagi mengembangkan perniagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Seri Shaharuddin Ab Moin, berkata kemudahan disediakan, termasuk bantuan modal dan latihan, tetapi ada yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan PKS.
“Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan melalui SME Corp, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) serta 28 agensi lain bagi membantu golongan terbabit. Tiada lagi alasan untuk usahawan PKS tidak mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi, ” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Minggu PKS SME Corp di Kompleks Dagangan Mahkota, di sini, hari ini.
Shaharuddin berkata, sebelum ini kerajaan Pusat menyediakan dana RM20 juta bagi menggalakkan usahawan PKS terbabit dalam bidang francais, namun dana terbabit terpaksa diambil semula kerana tiada sambutan.
“Selain itu, hanya lima PKS terpilih menerima geran berjumlah RM1.5 juta daripada SME Corp setakat ini. Bagaimanapun, usaha mencari usahawan berpotensi di negeri ini akan dilakukan dengan bantuan semua pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 80 peserta Minggu PKS yang dianjurkan selama dua hari berjaya mencatatkan transaksi jualan sebanyak RM2.6 juta apabila produk dipamerkan berjaya menembusi pasaran beberapa pasar raya dan pasar raya besar seperti Mydin, Tunas Manja dan Giant.
Sempena program itu, turut diadakan Majlis Penyampaian Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) 2016 peringkat negeri kepada 97 premis dan peniaga, termasuk pasar raya, kedai runcit dan kedai makan.