BERNAMA – 20 Mei 2016
PETALING JAYA, 19 Mei (Bernama) — D’Herbs Sdn Bhd menyasarkan jualan tudung jenama ‘Anzel Scarf’ di bawah koleksi Anzalna Nasir mencapai RM20 juta menjelang akhir tahun ini.
Pengasas D’Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman berkata syarikatnya yakin untuk mencapai sasaran itu memandangkan setiap stokis mampu menjana jualan sehingga RM200,000 setiap bulan.
“Sejak pelancaran awal pada Januari, jualan telah mencatat RM500,000 setiap bulan, dan kami menyasarkan RM10 juta bagi jualan perayaan pada Jun dan Julai tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran ‘Anzel Scarf’ di sini, hari ini.
Anzalna, atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir, merupakan pelakon yang popular dalam beberapa siri televisyen antaranya ‘Memori Cinta Suraya’ selain sebagai model iklan.
Jenama itu, yang sebelum ini dikenali sebagai ‘Sugar Scarf’, mempunyai 60 stokis di seluruh negara serta mempunyai pasaran di Brunei dan Singapura.
Aliff Syukri berkata syarikat itu melabur RM3.5 juta, terutama bagi tudung, yang menyaksikan permintaan besar daripada pelanggan.
Sementara itu, rakan kongsi perniagaan, Mazlina Mahmud, berkata syarikat itu merancang untuk membuka butik di setiap negeri menjelang akhir 2017.
“Butik itu akan dibuka secara francais oleh ejen, stokis atau stokis utama kami. Bagaimanapun, kami masih merancang mengenai rangka kerja dan konsep bagi perniagaan ini,” katanya.
‘Anzel Scarf’ ditawarkan dalam 50 warna polos dan 25 bagi rekaan bercorak.
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1247463