BERNAMA – 18 Mei 2016
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) — Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menggesa syarikat Malaysia membentuk konsortium untuk membida projek-projek di India dan Sri Lanka.
Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik Matrade Wan Latiff Wan Musa berkata peluang memenangi tender lebih tinggi dengan pasukan yang menawarkan sumber lengkap.
“Kita perlu menyertainya sebagai satu pasukan, dalam bidang seperti infrastruktur, kejuruteraan, reka bentuk, teknologi maklumat dan pembinaan daripada melakukannya secara bersendirian.
“Sebagaimana yang dinyatakan kerajaan India dan Sri Lanka, mereka meninjau lebih banyak projek-projek infrastruktur dan kemudahan seperti pelabuhan, pembinaan lapangan terbang dan pengurusan lapangan terbang, bekalan tenaga dan air,” katanya kepada Bernama, dan menambah yang kerajaan Malaysia akan mendapat butir-butir pelan pembangunan daripada kedua-dua negara itu tidak lama lagi.
Beliau berkata banyak peluang muncul tanpa dijangka semasa misi perdagangan dan pelaburan ke India dan Sri Lanka yang diketuai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 1 hingga 6 Mei.
“Sebagai contoh, semasa lawatan ke Andhra Pradesh (AP), negeri kelapan terbesar di India yang kini melalui pembaharuan ekonomi secara progresif, pelbagai potensi perniagaan boleh diteroka oleh syarikat-syarikat Malaysia.
“Pada masa ini AP bekerjasama dengan Unit pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) untuk membangunkan, melaksanakan dan memantau program kerajaan negeri dan pelan pembangunan strategiknya, memberi peluang kepada kita meneroka pasaran,” katanya.
AP mempunyai Keluaran Dalam Negeri Kasar sebanyak US$77 bilion pada harga semasa dan disasarkan menjadi negeri maju menjelang 2029.
Wan Latiff berkata banyak negara menunjukkan minat untuk memajukan AP, yang menerima 500 cadangan pelaburan.
“Malaysia perlu mengambil peluang ini dan memberi tumpuan kepada bidang-bidang yang kita mempunyai keupayaan.
“Kita bukan asing dengan pembangunan infrastruktur memandangkan kita mempunyai kepakaran dan pengalaman untuk membina bagi hampir kebanyakan jenis projek infrastruktur di luar Malaysia,” katanya.
Wan Latiff berkata Telangana, dengan penduduk berjumlah kira-kira 35 juta, kini melalui pembangunan pesat dan menawarkan peluang pelaburan yang hebat dalam sektor infrastruktur.
“Menteri Teknologi dan Maklumat, Pentadbiran Perbandaran dan Industri Telangana, Kalvakuntla Taraka Rama Rao, berkata mereka meninjau kerjasama dengan Malaysia dalam menubuhkan hab perindustrian bagi pelbagai sektor seperti pemprosesan makanan, pendidikan dan farmaseutikal di India.
“Ini adalah peluang yang baik untuk kita yang tidak boleh disia-siakan,” katanya.
Di Sri Lanka, yang berhasrat membangunkan megapolis, juga menawarkan banyak peluang pembinaan, kata Wan Latiff.
“Kami yakin syarikat-syarikat Malaysia telah bersedia untuk bekerjasama dengan syarikat Sri Lanka bagi membida projek-projek pembinaan dan infrastruktur,” katanya.
Entiti Malaysia yang aktif di Sri Lanka termasuk Axiata Group Bhd melalui anak syarikatnya Dialog Axiata PLC, Demak Manufacturing Lanka Pvt Ltd, Hyrax Oil Sdn Bhd dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Nilai potensi eksport daripada sesi perniagaan dengan perniagaan antara syarikat Malaysia dengan firma India dan Sri Lanka dianggarkan berjumlah RM3.7 juta dalam tiga hingga enam bulan.
Antara potensi eksport ialah bahan pembinaan, perkakasan rumah, makanan dan minuman serta perkhidmatan francais, kata Wan Latiff.
Bagi suku pertama 2016, eksport Malaysia ke India pada RM7.53 bilion dengan eksport ke Sri Lanka pada RM503 juta.
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1244497