BERNAMA – 16 Mei 2016
JOHOR BAHARU, 11 Mei (Bernama) — Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menggesa pemain industri halal terutamanya yang terlibat dalam hab halal di sini untuk mengambil bahagian dalam China ASEAN Expo (CAEXPO) bagi memanfaatkan peluang yang amat besar dalam industri itu di republik tersebut.
Pengarah MATRADE Unit China Ong Yew Chee berkata pemain industri halal di sini mempunyai keupayaan dan kelebihan untuk membuat penawaran dalam pasaran China.
“Kami ingin menggalakkan pemain industri serta agensi berkaitannya untuk mengambil bahagian dalam CAEXPO ini agar kami boleh menghubungkan mereka dengan rakan kongsi perniagaan berpotensi semasa ekspo tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Tour of China-ASEAN Expo (CAEXPO) 2016, di sini, hari ini yang dirasmikan oleh Pengerusi MATRADE, Datuk Noraini Ahmad.
CAEXPO, yang diadakan pada 23-26 Sept di Nanning, Guangxi Zhuang, wilayah autonomi, akan menjadi platform sesuai untuk mempromosikan hab halal Malaysia.
“Ini kemudiannya akan meneroka kemungkinan kerjasama antara syarikat Malaysia dan China dengan syarikat China melabur di sini dan syarikat Malaysia meneroka kemungkinan mengeksport produk halal dari Malaysia,” katanya
Ong berkata bagi 22 juta penduduk Islam di republik itu, keselamatan makanan adalah satu perkara yang diberi perhatian utama.
Produk Malaysia yang akan dipamerkan di CAEXPO termasuklah makanan dan minuman, produk kesihatan dan kecergasan, produk gaya hidup serta peluang perniagaan francais.
Setakat ini, katanya, 200 syarikat tempatan telahpun mengesahkan penyertaan mereka dalam CAEXPO.
“Kami menjangka meraih jualan kira-kira RM250 juta semasa CAEXPO,” katanya.
Tahun lepas, 152 syarikat Malaysia termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menyertai Pavilion Malaysia untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka dan meraih jualan sebanyak RM214 juta.
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1244660