BERNAMA – 12 Mei 2016
KUALA TERENGGANU, 11 Mei (Bernama) — Peningkatan kesedaran, minat serta penglibatan mahasiswa dalam perniagaan francais akan menyokong sasaran Malaysia menjadi hab sektor itu di Asia Tenggara pada 2020, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penyelidikan, Persatuan Francais Malaysia (MFA), Prof. Madya Dr Azmawani Abd Rahman.
Sasaran itu adalah berlandaskan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional, katanya.
Beliau berkata berdasarkan maklum balas yang diterima, mahasiswa semakin menunjukkan minat mereka setelah berkunjung ke Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa (FIM) di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Melalui objektif 4P iaitu promosi, peluang, pertemuan, dan pendidikan di FIM, mahasiswa yang berkunjung dapat melihat dengan lebih jelas bagaimana sesebuah perniagaan mempromosikan produk, perkhidmatan dan konsep perniagaan mereka dalam usaha menarik minat pelanggan dan pelabur,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di sebuah syarikat francais di sini, hari ini.
FIM merupakan platform tepat bagi menarik minat mahasiswa untuk menceburi perniagaan francais, memandangkan ia memberi pendedahan terutama perkara asas penting dari perspektif francaisi dan francisor kepada mahasiswa, katanya.
Beliau berkata mahasiswa turut didedahkan mengenai potensi mereka selain berpeluang bertemu dan mendengar secara langsung pengalaman, panduan dan amalan terbaik syarikat daripada pengusaha syarikat francais yang berjaya.
FIM, acara tahunan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersama MFA, merupakan program terbesar seumpamanya di Asia Tenggara.
Ia disertai 49 syarikat dari dalam negara seperti Marrybrown, Manhattan Fish Market, Daily Fresh, dan Smart Reader serta 27 syarikat francais dari luar negara iaitu Singapura, Indonesia, Filipina, Korea, Amerika Syarikat, Australia dan Taiwan.
Sehingga kini, industri francais telah menyumbang 3.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 dan diunjur menyumbang 9.4 peratus kepada KDNK menjelang 2020.
Jenama francais tempatan juga berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan mengikut rekod KPDNKK, setakat ini 61 jenama francais tempatan memasuki pasaran di 55 negara dengan jumlah outlet sebanyak 2,463.
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1244465