BERNAMA – 12 Mei 2016
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) — Pameran Francais Antarabangsa (FIM 2016) yang berlangsung baru-baru ini memberi peluang kepada usahawan muda untuk melibatkan diri dalam bidang francais dan bertemu dengan francaisor yang berjaya.
Pameran anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) itu diadakan selama tiga hari mulai 6 Mei lepas di sini menghimpunkan 76 syarikat francais termasuk dari Australia, Korea Selatan, Singapura dan Taiwan.
Antara syarikat francais Malaysia yang berjaya ialah Kopiesatu, Marrybrown dan Coolblog.
Ketua Pegawai Eksekutif Kopiesatu, Mohd Nazri Md Karim berkata industri francais merupakan platform terbaik untuk usahawan menceburi bidang perniagaan yang lebih selamat.
“Melalui konsep ini, risiko yang dihadapi usahawan lebih rendah berbanding membangunkan perniagaan biasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Kopiesatu ditubuhkan pada 2001 dan merupakan anak syarikat FAMA Corporation Sdn Bhd.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan meluluskan FAMA Corporation Sdn Bhd sebagai francaisor berdaftar berkuat kuasa 1 Mac 2015 bertujuan mengembangkan jaringan perniagaan KopieSatu melalui kaedah francais.
Pengurus Francais dan Perkhidmatan Lapangan Marrybrown, Khairul Azman berkata melalui FIM 2016, usahawan dapat mempelajari pelbagai teknik perniagaan daripada francaisor.
“Usahawan muda perlu mempelajari teknik dan selok-belok perniagaan francais daripada francaisor yang berjaya kerana bidang ini memerlukan tahap komitmen daripada usahawan melebihi 100 peratus,” katanya.
Marrybrown merupakan restoran makanan segera yang mengetengahkan makanan Malaysia seperti nasi ayam dan nasi lemak ke luar negara.
Pengurus Latihan dan Pembangunan Perniagaan CoolBlog, Nurul Ashikin Mohamed Aris berkata bidang francais mempunyai banyak cabaran dan persaingan tetapi persaingan itu yang membawa sesuatu perniagaan itu untuk terus berjaya pada masa depan.
“Memang terdapat persaingan dari segi jenama minuman, tetapi CoolBlog mempunyai pelanggannya sendiri dan bersaing secara sihat dengan jenama minuman lain,” katanya sambil menambah CoolBlog telah membuka 380 outlet di Malaysia dan Indonesia.
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1244584