Utusan Malaysia – 8 Mei 2016
HAMZAH ZAINUDIN mendengar penerangan daripada Roszie Amir (kiri) mengenai busana muslimah semasa melawat tapak pameran Franchaise International Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 7 Mei – Kerajaan Pusat telah menyalurkan bantuan pembiayaan francais sebanyak RM263.3 juta termasuk skim pembiayaan francaisi berjumlah RM252 juta membabitkan 1,108 peminjam dalam tempoh 10 tahun sejak 2006.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jumlah itu juga melibatkan bantuan skim pembiayaan mikro francais kepada 376 peminjam dengan dana sebanyak RM11 juta.
“Bagi tempoh tahun ini sahaja, jumlah bantuan dana sebanyak RM1.16 juta telah disalurkan kepada dua orang peminjam.
“Kedudukan industri francais di negara ini mampu menjadi satu perniagaan yang boleh meningkatkan ekonomi domestik dan kini, sebanyak 813 syarikat francais telah berdaftar di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengunjungi Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa (FIM 2016), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, FIM 2016 yang akan berakhir esok itu menyasarkan nilai potensi pelaburan francais berjumlah RM400 juta.
Katanya, nilai transaksi pelaburan itu adalah hasil jualan sistem francais kepada 1,000 potensi francaisi melalui 80 pempamer.
“Acara tahun ini dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) itu berobjektifkan gabungan 4P iaitu promosi, peluang, pertemuan dan pendedahan atau pendidikan dengan mengumpulkan penggiat francais dari dalam dan luar negara serta memberi peluang kepada pihak francaisor untuk mempromosikan sistem francais mereka,” katanya.
Tambah beliau, selain penyertaan 49 syarikat dari dalam negara, program terbesar di Asia Tenggara itu turut mendapat sokongan 27 syarikat francais antarabangsa seperti Singapura, Indonesia, Filipina, Korea, Amerika Syarikat, Australia dan Taiwan.
Hamzah berkata, FIM yang dianjurkan setiap tahun itu mendapat pengiktirafan daripada Majlis Francais Dunia (WFC) dan Persekutuan Francais Asia Pasifik (APFC) yang merupakan badan induk menaungi kegiatan francais seluruh dunia.
“Pengiktirafan yang dicapai itu selaras dengan sasaran kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab francais Asia Tenggara menjelang tahun 2020 berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional.
“Pada tahun ini kita menyasarkan 10,000 pengunjung iaitu mereka yang benar-benar ingin menjadi pengusaha dalam industri francais,” katanya.
URL : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rm263-3-juta-bantu-pembiayaan-francais-1.319652