BERNAMA – 8 Mei 2016
Datuk Seri Hamzah Zainudin mencuba produk minuman keluaran Daily Fresh ketika membuat tinjauan ke tapak pameran Francais Antarabangsa Malaysia pada Sabtu
KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) — Perbadanan Nasional Berhad (PNS), agensi kerajaan yang diberi mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di negara ini, memberi pembiayaan RM263.343 juta kepada 1,484 peminjam atau francais sejak 2006 hingga kini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata jumlah itu merangkumi dua jenis skim pembiayaan iaitu Skim Pembiayaan Francaisi dan Skim Pembiayaan Mikro Francais.
“Untuk tempoh yang sama, PNS turut mengeluarkan pembiayaan berjumlah lebih RM30 juta bagi membiayai 49 francaisor atau pemilik syarikat francais menerusi Skim Pembiayaan Pra-Francaisor,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra ke Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM2016) di sini hari ini.
Beliau berkata, untuk tempoh yang sama, PNS menyediakan 425 latihan berkaitan perniagaan francais kepada hampir 54,000 peserta bertujuan membangunkan jumlah usahawan francais di negara ini.
Mengenai pameran FIM2016 anjuran kementeriannya bersama Persatuan Francais Malaysia (MFA), Hamzah berkata ia merupakan antara platform untuk mengembangkan industri francais yang seterusnya dapat menyumbang secara lebih berkesan terhadap ekonomi negara.
Katanya, penganjuran pameran yang turut disertai pempamer atau syarikat francaisor dari luar negera, diharap menarik lebih ramai penyertaan usahawan tempatan untuk melibatkan diri dalam perniagaan itu.
Menurut Hamzah, dengan sasaran transaksi bernilai RM400 juta, pameran kali ini yang disertai 76 buah syarikat francais termasuk dari negara seperti Australia, Korea Selatan, Singapura dan Taiwan menawarkan produk atau perkhidmatan yang berkualiti dan harus diambil peluang oleh usahawan tempatan.
“Kita mahu pengunjung-pengunjung yang melawat pameran ini ditawarkan dengan produk-produk francais berkualiti dan jika mereka terlibat dalam perniagaan ini, mereka mampu bertahan untuk tempoh yang lama dan terus berkembang, bukan hanya dua atau tiga tahun sahaja,” katanya.
Bertemakan “Leap Beyond the Limits”, pameran FIM2016 selama tiga hari bermula semalam itu menyediakan pelbagai aktiviti yang berinformasi kepada pengunjung termasuk bengkel penerangan berkenaan perniagaan francais.