BERNAMA – 8 Mei 2016
KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yakin Malaysia akan mencapai sasaran menjadi hab utama francais di Asia Tenggara menjelang 2020 disebabkan melalui pelancaran Program Pembangunan Francais Yang Dipertingkat (EFDP).
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata objektif EFDP ialah untuk menyokong jenama francais Malaysia dalam menawarkan peluang perniagaan francais di pasaran antarabangsa.
“Ia menyediakan bantuan kewangan kepada francaisor tempatan dalam dua asas utama iaitu mendaftarkan hak harta intelek dan mendapatkan perjanjian francais di luar negara.
“Kemunculan negara Asia Tenggara itu mendapat perhatian francaisor. Masih ada peluang besar untuk pertumbuhan tetapi pihak francaisi harus menyediakan strategi pertumbuhan yang tersusun rapi sebelum memasukinya,” kata beliau.
Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Jamil Salleh pada perasmian Franchise International Malaysia 2016, di sini malam Sabtu.
Pada masa ini, terdapat 813 pendaftaran francais telah didaftarkan di bawah kementerian dengan sektor makanan dan minuman (FB) mendahului dengan 39 peratus diikuti pusat pembelajaran dan nurseri dengan 11 peratus daripada jumlah francais berdaftar.
“Kerajaan ingin menggalakkan sektor-sektor baharu khususnya dalam sektor pelancongan dan teknologi hijau,” katanya.
Hamzah berkata untuk terus menyokong peserta francais tempatan menembusi pasaran antarabangsa, kerajaan telah menganjurkan pelbagai misi perdagangan dan pameran promosi.
Pada masa ini, 61 jenama francais Malaysia telah menembusi lebih 55 negara dengan jumlah outlet mencapai 2,453 cawangan.
“Kementerian bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk merumuskan strategi yang berkesan bagi memperluaskan pasaran bagi francais tempatan berkembang,” katanya.
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1243482