Utusan Malaysia – 7 Mei 2016
KUALA LUMPUR 5 Mei 2016 – Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah (dua dari kiri) melihat cenderamata yang diberikan oleh Pengerusi PNS, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee setelah membuat kunjungan ke Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di sini hari ini. – Gambar ZAKARIA IDRIS
KUALA LUMPUR 5 Mei – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan sekurang-kurangnya 10 koperasi di negara ini terlibat dalam perniagaan francais menjelang akhir tahun.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, perniagaan itu dilihat berpotensi memperkasakan ekonomi koperasi menerusi pulangan yang lebih cepat dan terjamin selain mudah diuruskan kerana mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sebagai panduan.
Katanya, Angkasa kini sedang bekerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) selaku penunjuk cara melalui bantuan dari aspek bimbingan, tatacara dan peraturan perniagaan kepada mereka yang berminat untuk menceburinya.
“Setakat ini, antara perniagaan francais yang dilihat sesuai diceburi untuk memperluaskan lagi cabang perniagaan koperasi ialah sektor makanan, pendidikan dan perhotelan, iaitu antara perniagaan yang memberi impak terbaik.
“Koperasi di institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta koperasi sekolah dilihat sesuai untuk menceburi perniagaan ini. Bagaimanapun, mana-mana koperasi yang berminat untuk memulakan perniagaan seumpamanya, kita tetap akan membantu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, demikian selepas sesi perjumpaan dan perbincangan antara Angkasa dan PNS di sini. Turut hadir Pengerusi PNS, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee.
Abdul Fattah berkata, mereka akan mewujudkan satu jawatankuasa khas dianggotai wakil kedua-dua pihak dalam usaha mengukuhkan kerjasama yang sedia terjalin seterusnya memastikan segala perancangan dan sasaran ditetapkan dicapai.
“Kita juga akan meneroka pasaran negara-negara ASEAN seperti Brunei, Indonesia, Myanmar dan Vietnam untuk mengembangkan perniagaan dan melihat potensi baharu bukan sahaja melibatkan perniagaan francais tetapi juga secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, Syed Ali berkata, pihaknya yakin kerjasama ini akan menjadi batu loncatan dalam melahirkan lebih ramai usahawan francais daripada koperasi dan berharap dapat membantu melancarkan segala usaha yang dilakukan oleh Angkasa.
“Akademi PNS yang ditubuhkan pada 2009 telah melahirkan ramai usahawan francais yang berjaya dan kami akan berkongsi kepakaran yang dimiliki ini untuk membantu mereka bertapak dalam dunia francais,” katanya. – BERNAMA
URL : http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/angkasa-sasar-10-koperasi-ceburi-perniagaan-francais-tahun-ini-1.315685