Utusan Malaysia – 28 April 2016
NAJIB TUN RAZAK
SEBESAR-BESAR syukur ke hadrat Allah SWT, yang telah dengan kurnia dan izin-Nya memelihara Malaysia dalam kedudukan aman dan damai.
Hakikatnya, sebagai sebuah negara Islam yang dinamik lagi progresif, menurut peradaban dan Maqasid Syariah, prasyarat kepada pembikinan sesebuah negara bangsa menuntut kepada asas wujudnya keamanan serta kestabilan.
Jika tidak, mana mungkin kita dapat berhimpun dalam Auditorium pada malam ini, dan rakyat seluruhnya di luar sana berasa selamat lagi tenteram, bagi mengikuti pembentangan laporan Program Transformasi Kerajaan atau GTP dan Program Transformasi Ekonomi atau ETP, untuk siri yang kelima.
Sesudah ini, saya akan gabung dan akan sebutkan sebagai Program Transformasi Negara atau NTP. Kesemuanya, bernaung di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional, yakni DTN.
Sebelum meneruskan dengan ucapan ini, pastinya, penghargaan yang tinggi bahkan tidak ternilai oleh kata-kata, wajar kita berikan kepada para perajurit tanah air serta anggota keselamatan, di atas pengorbanan siang dan malam tanpa jemu, demi mempertahankan Malaysia di segenap perbatasan daripada ancaman musuh.
Tentu sekali, dengan adanya, kesentosaan dan kedamaian, barulah pembangunan sesebuah negara dapat dijelmakan. Kita juga amat beruntung, tanah air ini dirahmati dengan ratusan jumlah etnik dan kaum bangsa yang menjadi penduduk negara, bermula dari Semenanjung, membawa ke Sabah dan Sarawak.
Jelasnya, sejak meraih kemerdekaan, kita telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa, semangat perpaduan dalam kepelbagaian, unity in diversity ini, telah dimanfaatkan sepenuhnya sebagai aset juga formula kejayaan selama hampir 60 tahun.
Oleh sebab itulah, kita berasa amat kesal, apabila ada segelintir pihak yang telah meracuni, menghasut dan mempengaruhi fikiran rakyat, hingga sanggup turun berhimpun secara haram ke kaki-kaki jalanan, berdemonstrasi tanpa hala tuju, dengan memburuk-burukkan negara dan cuba menjatuhkan pemimpin serta kerajaan, secara yang tidak demokratik.
Berkait perkara ini juga, terlebih kita berasa sedih dan sayang seribu kali sayang, yang turut terheret dalam kancah ini, adalah bekas-bekas para pemimpin dan negarawan. Tidak cukup dengan itu, sehingga mereka sanggup memperlekeh perihal negara sendiri dan meminta campur tangan kuasa asing.
Sedangkan satu ketika dahulu, orang itulah yang menyebut, biar Malaysia ini ditentukan rupa dan bentuknya dengan acuan kita sendiri.
Ketahuilah, setiap kebenaran itu memakan masa, menuntut kesabaran yang tinggi dan ketabahan diri yang cekal bagi kita semua menempuh cabaran dan liku-liku dalam mencapai kejayaan.
Maka yang demikian, berilah peluang dan waktu kepada kerajaan yang ada pada hari ini untuk mewajah dan mewarnakan masa depan kita, menurut rancangan yang kita telah tentu dan sudah tetapkan.
Selaras dengan pengertian firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7 pula, mengajak kita bersyukur kepada apa yang sedang dikecapi, kerana Tuhan nescaya akan menambah nikmat-Nya dan jika sebaliknya, azab serta seksaan Allah yang menanti amatlah pedih.
Hakikatnya pun, apa yang sedang kita nikmati di sekeliling adalah hasil mahsyul perjuangan dan kegigihan kerajaan sejak berdekad-dekad hinggalah ke era Dasar Transformasi Nasional ini.
Apa yang penting, jangan sesekali kita alpa, kalau kita leka dan termakan dengan angkara-angkara serta anasir negatif, nauzubillah, semuanya boleh lenyap dan punah dalam sekelip pejaman mata.
Oleh itu, dengan mengambil ibrah dan pengajaran daripada potongan ayat tersebut, sememangnya menjadi amanah utama, yang tergalas di bahu pemerintah atau kerajaan yang bertanggungjawab adalah untuk memastikan kelangsungan perancangan dan pelaksanaan iktisad atau ekonomi yang jitu serta padu.
Justeru, pada detik-detik di mana segolongan tertentu, sedang mengganggu-gugat dan memporak-porandakan keadaan, try to make things unnecessarily difficult, serta mencuba dengan pelbagai asakan, menduga kesabaran kita, dengan tingkah laku tidak berhemah, tidak ada sopan susila lagi seolah-olah mahu menjolok sarang tebuan.
Meskipun begitu, pada titik tolak ini, saya tetap memilih untuk berjiwa besar dan memimpin kerajaan yang sedang mentadbir ini, untuk juga berjiwa besar, tetap berdiri tegak, memandang ke hadapan dan mara melangkah, demi menjayakan rencana kemajuan negara.
Realitinya pun, it has been my stand since day one I took over as the Prime Minister; that, this Government must move forward to continue building a resilient, sustainable and inclusive economy for the people, bertunjangkan falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Sejak NTP bermula, Malaysia telah berjaya memecah tembok-tembok kemustahilan dari aspek penyampaian kerajaan kepada rakyat dan pencapaian angka-angka serta prestasi ekonomi, di mana, kita telah melakukan paradigm shift atau satu anjakan besar daripada ‘being’ kepada ‘doing’.
Alhamdulillah, baru-baru ini genaplah tujuh tahun saya memegang tampuk pentadbiran kerajaan, sebagai Perdana Menteri bersama-sama dengan Timbalan Perdana Menteri dan jemaah menteri serta anggota pentadbiran, dengan kehendak Ilahi jua, melalui Dasar Transformasi Nasional atau DTN, this Government has been successful incrafting Malaysia’s economic strategy and as I said a few weeks ago, we can say with certainty, that our transformation plan is working and we are delivering!
Malaysia ke status negara maju
Sesungguhnya, bertolak daripada apa yang saya nyatakan tadi, melalui NTP, yang kini mencecah usia lima tahun pelaksanaannya, meski negara berhadapan dengan kemelut ekonomi global, saya ingin memaklumkan, GTP daripada aspek Bidang Keberhasilan Utama Negara, telah mencapai 99 peratus KPI penyampaiannya.
Manakala bagi ETP menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara mencapai 111 peratus KPI, serta menerusi Inisiatif Pembaharuan Strategik pula, 108 peratus KPI telah dicapai.
Semestinya, tepukan dan tahniah kita berikan kepada semua kementerian, agensi-agensi kerajaan dan swasta yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam mencapai prestasi yang cemerlang ini!
Bahkan, seperti yang saya perjelaskan pada laporan tahun lalu, GTP telah melewati horizon atau fasa 1 dan 2 dan kini kita telah masuk ke fasa seterusnya melalui Rancangan Malaysia Ke-11, untuk menjulang Malaysia ke status negara maju. Pada sudut lain, ETP akan terus dipacu capaiannya sehingga sampai kepada sasaran-sasaran yang ditetapkan, Insya-Allah.
Sehubungan itu, pada malam berbahagia ini, saya ingin mengutarakan sekurang-kurangnya Lima Petunjuk Besar Kejayaan NTP dalam tempoh sekitar 70 bulan bermulanya dengan Bajet 2010, dalam meletakkan ekonomi Malaysia pada trajektori yang tepat dan berdaya tahan.
l Pertamanya, dari sudut Keluaran Dalam Negeri Kasar atau KDNK. Alhamdulillah, meskipun dalam keadaan ekonomi global yang mencabar sejak tahun-tahun kebelakangan ini, Malaysia, dengan perancangan yang rapi, serta pemantauan yang berterusan, telah mencatat pertumbuhan purata KDNK 5.6 peratus sejak 2010.
Pencapaian pertumbuhan ini sebenarnya harus kita banggakan, kerana rata-ratanya banyak negara di rantau ini, bahkan negara lain di dunia, tak mampu mencapai pertumbuhan sebaik kita. Malahan, tahun 2015, Malaysia antara negara yang mencatatkan pertumbuhan terbaik di ASEAN.
Untuk memudahkan kefahaman rakyat, sebagai perumpamaan, dari sudut ekonomi, KDNK adalah antara petunjuk penting tentang tahap kesihatan sesebuah negara. Makanya, dengan kadar purata 5.6 peratus ini, bolehlah kita katakan, ekonomi Malaysia berada dalam sihat.
Ertinya, hasrat kita untuk menjadi negara maju, bukanlah sekadar impian tetapi, dengan momentum yang ada kini, Insya-Allah,ia akan menjadi satu kenyataan.
l Petunjuk besar kedua, Disiplin Fiskal. Maksud disiplin fiskal dalam bahasa yang mudah difahami adalah, kebijaksanaan dan kemampuan sesebuah Kerajaan mengawal kedudukan kewangan negara, termasuk pengendalian hutang.
Contohnya, secara konsisten, tahun demi tahun, kita telah dapat mengurangkan defisit fiskal Kerajaan, daripada 6.7 peratus pada 2009, kepada serendah 3.2 peratus pada 2015. Sasaran kita untuk mencapai paras 3.1 peratus pada tahun ini pula, mudah-mudahan akan tercapai.
Ertinya, apabila sesebuah negara seperti Malaysia mempunyai disiplin fiskal yang baik, maka, kos pinjaman kita adalah rendah. Lebih penting lagi, keyakinan pasaran akan terus berada pada tahap yang tinggi, berkait kedudukan kredit Malaysia.
l Petunjuk besar ketiga, merujuk kepada Pendapatan Negara Kasar per Kapita. Untuk makluman rakyat, pendapatan negara kasar ini boleh difahami sebagai pendapatan-pendapatan terkumpul negara, hasil daripada antaranya, gaji, keuntungan syarikat dan pelaburan swasta.
Lantas, ingin dilaporkan bahawa, berbanding tahun 2010, pendapatan negara kasar per kapita sekitar RM28,000 telah meningkat sebanyak 30 peratus bagi tahun 2015, menjadi lebih RM36,000.
l Selanjutnya, petunjuk besar keempat, ingin saya sampaikan kepada ramai pada malam ini bahawa, buat bulan ke-220 berturut-turut yang dihitung sejak November 1997, Malaysia terus mencatat lebihan dagangan, yakni, nilai eksport kita melebihi nilai import.
Ini membuktikan bahawa, Malaysia sebagai sebuah negara kecil berekonomi bebas atau a small open economy,tetap kekal berdaya tahan.
Malah, sejak tahun 2010, kita terus mampu mengekalkan prestasi ini di bawah kejayaan NTP, dan pada Februari 2016 sahaja, surplus atau lebihan eksport daripada import Malaysia adalah sebanyak RM7.5 bilion.
l Dan selanjutnya, petunjuk besar kelima, kita rasa bersyukur kerana terus menerima pengiktirafan badan dan agensi penarafan luar negara. Bahkan, secara keseluruhan kini, Malaysia berbanding tahun 2010, berada di tangga yang lebih tinggi di dalam beberapa penarafan ini.
Sebagai contoh, laporan Ease of Doing Business oleh Bank Dunia, kita berada di kedudukan ke-21 pada 2010, dan telah naik ke tangga ke-18 pada 2015.
Bagi Global Competitiveness Report oleh World Economic Forum pula, kita berada di tangga ke-26 pada 2010, tetapi hasil usaha gigih kerajaan yang ada kini, Malaysia telah berjaya ditempatkan pada tangga ke-18 pada 2015.
Bahkan kita juga sekarang berada di tangga kesembilan,dan menjadi satu-satunya negara emerging market yang tersenarai dalam top-10, bagi Financial Market Development oleh World Economic Forum Global Competitiveness Ranking 2015-2016.
Jelas sekali, melalui apa yang saya sampaikan, bagaimana mungkin sesiapa dapat menyangkal fakta-fakta dan nombor-nombor yang telah dipersahihkan, diperakukan dan diiktiraf oleh sekian banyak penaraf-penaraf berwibawa.
Ringgit capai tahap tertinggi
Walau bagaimanapun, inilah masalahnya, macam mana ada orang yang boleh tuduh dan mengatakan kononnya negara kita akan muflis? Dan membuat jangkaan sesuka hati bahawa ringgit akan jatuh ke nilai 4.8 berbanding dolar Amerika sedangkan, sekarang ringgit sudah mula mengukuh.
Buktinya, tahun ini, ringgit telah mencapai tahap tertinggi pada 13 April 2016 yakni 3.865 berbanding dolar Amerika, atau peningkatan sebanyak 11 peratus sejak akhir tahun 2015.
Apa yang penting, kita boleh berbangga kerana perkembangan positif tersebut, telah berjaya menjadikan ringgit sebagai mata wang yang mempamerkan prestasi terbaik pada 2016 di rantau Asia ini.
Tambahan pada ini, setakat minggu lepas 22 April 2016 sahaja, saham Bursa Malaysia telah terjual kepada para pelabur luar negara bernilai RM6.4 bilion.
Seperkara lagi yang lebih membanggakan, pada 20 April tahun ini, kerajaan telah berjaya menerbitkan Sukuk Global bernilai AS$1.5 bilion.
Sukacita saya menyatakan bahawa, melalui terbitan sukuk global tersebut, berlaku satu transaksi yang memberangsangkan di mana jumlahnya telah terlebih langgan sebanyak 4.2 kali.
Pada sisi yang lain, bercakap pasal negara kita, baru-baru ini, seperti yang ramai sedia maklum, seorang pendakwah bebas terkemuka dunia bernama Dr. Zakir Naik, dalam menjawab soalan seorang mahasiswi universiti tempatan, menyatakan betapa bertuahnya penuntut perubatan di negara ini kerana yuran yang dikenakan oleh kerajaan sangatlah rendah.
Memetik intisari kata-kata Dr. Zakir, “Di manakah boleh kita dapat negara dalam dunia, yang kos pendidikan perubatannya serendah Malaysia?”
Ini bukan saya yang kata, tapi orang luar yang memuji dan menyebutnya.
Alhamdulillah, secara amnya berasaskan facts and figures, sebetulnya tidak ada pihak yang boleh menafikan bahawa kedudukan ekonomi Malaysia dan tahap sosioekonomi rakyat, adalah baik dan wajar dibanggakan.
Ternyata, dalam lawatan-lawatan rasmi dan tidak rasmi saya, kita dapat lihat ramai rakyat kita kini, semakin baik kualiti kehidupan mereka. Bahkan tidak keterlaluan, jika disebut secara umumnya, kualiti kehidupan rakyat negara kita, adalah antara yang terbaik di rantau ini.
Misalannya, saya lihat para ibu bapa di bandar-bandar, dapat membawa anak-anak mereka bercuti dan membeli-belah terutama menjelang musim cuti sekolah.
Saya juga diberitahu, semasa MATTA Fair baru-baru ini, penjualan pakej-pakej percutian dan tiket-tiket penerbangan begitu laris sekali. Malah promosi dan jualan hari-hari perayaan, seperti Aidilfitri sudah pun bermula seawal bulan lepas!
Namun demikian, rakyat harus faham, apabila disentuh tentang kos kehidupan secara umum, orang ramai seelok dan semoleknya, mengamalkan gaya hidup berhemah, dalam erti kata, wajar berbelanja dengan bijak, mengikut kemampuan, agar tidak terjebak dalam masalah kewangan peribadi dan keluarga yang tidak sepatutnya.
Saya bagi pihak kerajaan, menyeru agar rakyat sentiasa beringat untuk masa depan keluarga dan anak-anak dengan cara menabung dan menyimpan di tabungan-tabungan yang dapat menjana jaminan di hari muka.
Di sinilah terpamer hakikat dan keadaan sosioekonomi sebenar negara dan rakyat Malaysia, bertentangan, dengan apa yang cuba dimomok-momokkan dan dipersepsikan secara negatif, oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sesungguhnya, kebenaran tetap kebenaran, sekalipun ada yang cuba mendusta-dustakannya.
Oleh yang demikian, saudara dan saudari, let us push away the negative and toxic rhetorics, tolak dan tepis segala pandangan yang tidak membina, sebaliknya kerajaan pimpinan saya sekarang, bertekad untuk menumpukan segala agenda dan usaha, demi untuk terus memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat.
PERKHIDMATAN UNTUK RAKYAT DIPERTINGKAT
Secara keseluruhannya, pertumbuhan sektor swasta terus berperanan sebagai the engine of our economic growth, didorong menerusi pelaburan dan penggunaan. Ini telah mewujudkan sebanyak 1.8 juta peluang pekerjaan baharu dari 2010 hingga 2015.
Jika sebentar tadi, saudara dan saudari, saya telah menyatakan Lima Petunjuk Besar kejayaan NTP sepanjang lima tahun lepas, ingin saya kongsikan lagi dalam pembentangan pada malam ini, pelbagai pencapaian lain yang membanggakan.
Jika pada 2010, kerajaan telah mengumumkan komitmen agar perkhidmatan awam ditransformasi supaya mutu perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan.
Hasilnya, sebagai contoh, di 17 buah hospital kerajaan di seluruh negara, setakat ini, tempoh menunggu bagi para pesakit telah berjaya dikurangkan sehingga 50 peratus. Ini berupaya memanfaatkan jumlah kira-kira dua juta pesakit.
Pada 2010 juga, kerajaan menjanjikan bahawa kawasan luar bandar akan turut ditransformasi terutamanya melalui pembangunan infrastruktur.
Alhamdullillah, seramai 5.5 juta rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan luar bandar kini, dapat menikmati transformasi yang membabitkan kemudahan-kemudahan seperti air, elektrik dan jaringan jalan raya.
Sejak lima tahun lepas juga, hampir tiga juta rakyat dapat menggunakan 5,300 kilometer jalan raya baharu yang telah dibina.
Seterusnya lagi, dalam tempoh masa yang sama juga, kira-kira 1.7 juta lagi rakyat mendapat akses kepada air paip yang menyediakan bekalan air bersih kepada lebih 340,000 isi rumah. Manakala, sejumlah RM144,000 isi rumah lain mendapat akses kepada bekalan elektrik 24 jam.
Selain itu, untuk keluarga yang tidak berkemampuan, lebih 82,000 rumah telah siap dibina dan dibaik pulih.
Pada 2010 juga, kerajaan telah mengkaji situasi daya huni di bandar atau live ability, bagi kawasan Greater Kuala Lumpur, berdasarkan unjuran 10 juta penduduk pada 2020.
Sehubungan itu, kerajaan telah, antaranya memperluas laluan LRT dan menambah kereta api baharu untuk menghubungkan rakyat kepada lebih banyak kawasan.
Contohnya, Fasa 1 Projek Peluasan LRT Aliran Ampang, dengan pembukaan empat stesen iaitu, di Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK, memanfaatkan seramai 190,000 pengguna harian.
Manakala, bagi Projek MRT Laluan 1 dari Sungai Buloh ke Semantan pula, saya dengan berbesar hati mahu melaporkan bahawa, laluan ini dijangka beroperasi mengikut jadualnya, pada akhir Disember 2016, Insya-Allah.
Perkhidmatan ini akan memanfaatkan seramai 400,000 pengguna setiap hari, yang melibatkan penduduk seperti di Damansara, Sungai Buloh, Taman Tun dan Bandar Utama.
Untuk Laluan Penuh Sungai Buloh ke Kajang pula, dijangka beroperasi pada Julai 2017.
Kerajaan sememangnya prihatin dan komited dalam mempertingkatkan taraf hidup isi rumah, terutamanya golongan B40,yang acapkali kita ketengahkan.
Maka pada perspektif ini, seandainya, pada pembentangan tahun-tahun lalu, saya membawa percontohan yang menyentuh pemberian dan kejayaan langsung kepada individu-individu.
Kali ini, saya akan membawa pengkisahan-pengkisahan yang tidak terhenti setakat pemberian kepada individu atau kelompok, namun bagaimana bantuan Kerajaan melalui NTP telah turut berjaya mengubah untung nasib dan mentransformasikan mereka serta masyarakat sekeliling.
Pertama sekali, kisah keluarga Chik Azmily bin Che Abdul Aziz, yang dulunya seorang tukang kebun dan buruh harian memetik buah kelapa sawit, dari Kampung Beoh Gunong di Kelantan.
Menerusi program 1AZAM Tani, Che Azmily diberi bantuan peralatan dan bahan-bahan pertanian. Bantuan ini termasuklah benih, baja dan racun serangga untuk mengusahakan tanaman kontan bermusim jangka pendek, seperti timun, ubi, sayur daun dan tembikai.
Daripada jualan pertanian ini, beliau juga memulakan penternakan lebah kelulut untuk mendapatkan madunya.
Hasil daripada usaha beliau ini, pendapatan beliau meningkat 10 kali ganda, daripada RM500 kepada RM5,000 sebulan.
Ini satu cerita kejayaan yang patut dijadikan teladan oleh ramai terutamanya kaum tani dan tentunya tepukan tahniah kepada Chik Azmily!
Permisalan selanjutnya pula, tentang kejayaan Encik Manimaran Ekamparam dari Kampar, Perak. Syarikat beliau iaitu M.S Village Foods Sdn. Bhd, berjaya menembusi pasaran yang lebih besar, setelah menerima Pensijilan Piawaian Kualiti di bawah Program Makanan Selamat Tanggungjawab Industri, atau MeSTI.
Kini, beliau membekalkan makanan ringan seperti muruku dan kacang, antaranya kepada syarikat penerbangan AirAsia dan Malaysia Airlines. Sekaligus, meningkatkan nilai jualan tahunan syarikatnya, daripada RM1.9 juta pada 2012 kepada hampir RM3 juta pada 2014. Encik Manimaran, kami semua mengucapkan syabas! atau dalam Bahasa Tamilnya, rum-ber congratulations!
Dalam pada itu, kerajaan juga terus menyokong para usahawan kita untuk mereka berjaya di peringkat yang lebih tinggi, selaraskan dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia negara yang maju.
Mari kita mengambil teladan daripada syarikat ProEight Sdn Bhd, syarikat pengilang kedap dan pam mekanikal, dalam sektor minyak dan gas. ProEight yang diterajui oleh Ir. Azhar Zainal Abidin, sentiasa menekankan amalan inovasi dan mendorong pekerjanya untuk menjadi yang terbaik.
Saya dimaklumkan, setelah syarikat ini menyertai misi perdagangan luar negara yang diketuai oleh Malaysian Petroleum Resources Corp,ProEight telah memperoleh lebih 20 projek dari Thailand dan seterusnya menubuhkan ProEight Thailand Co Ltd pada tahun lepas.
Kini, syarikat ProEightjuga akan menubuhkan sebuah pusat penyelenggaraan dan baik-pulih di Arab Saudi yang akan dikendalikan secara usaha sama dengan syarikat Arabian Establishment for Trading, Shipping and Petroleum Works.
Inilah yang kita mahukan, inilah lambang syarikat anak tempatan yang harus dibanggakan, sehingga sampai meneroka ke pentas global. Tahniah kepada Ir. Azhar Zainal Abidin dan syarikat ProEight Sdn Bhd!
PENDIDIKAN DINAMIK
Di sudut lain, NTP sedang berlangsung dengan dinamiknya, termasuk di bidang pendidikan. Kita menyedari bahawa, banyak cabaran hebat perlu diatasi untuk memupuk bakat agar berdaya saing pada peringkat global.
Justeru, saya gembira apabila diberitahu tentang pencapaian Sekolah Asrama Bantuan Kerajaan Imtiaz Yayasan Terengganu di Besut. Sekolah ini, yang mempunyai lebih 2,000 pelajar di tujuh kampus di seluruh Terengganu, telah mencatat kecemerlangan dalam banyak pertandingan antarabangsa seperti memenangi pingat emas dan perak dalam Kaohsiung International Invention and Design EXPO 2015.
Kepada pengetua sekolah, Haji Abdul Wahab Mohd Arshad, guru-guru dan para pelajarnya,kita berikan sekalung puji serta tepuk semangat,kerana berani keluar dari comfort zone dan berupaya bersaing di arena antarabangsa!
akujanji komprehensif
Seperti yang kita sedia maklum, pagi tadi bersempena Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11, Manifesto Barisan Nasional Sarawak 2016 telah dilancarkan dengan tajuk, Beri Peluang Kepada Team Adenan.
Manifesto yang bertunjangkan kepada 15 perkara utama dan 53 prinsip,memperincikan janji-janji yang akan ditepati demi membela dan memperjuangkan nasib serta masa depan rakyat Sarawak.
Saya melihatnya sebagai satu akujanji yang komprehensif yang merangkumi perkara-perkara utama seperti hak rakyat Sarawak, pendidikan, budaya, tanah, rumah mampu milik, keusahawanan, pembangunan luar bandar, wanita dan belia serta secara keseluruhannya peningkatan kualiti hidup.
Secara holistiknya, manifesto ini menggariskan kesinambungan kepada kejayaan sebelum ini, dengan pelan pembangunan lima tahun dan ke hadapan pula, dalam agenda pembangunan serta kemajuan demi Sarawak yang bersatu padu lagi sejahtera.
Merujuk kembali kepada NTP ini, sebagai negeri yang terbesar di Malaysia dengan mempunyai pelbagai etnik dan suku kaum, cabaran geografi serta kawasan-kawasan yang jauh di pedalaman, saya ingin nyatakan di sini bahawa, Sarawak merupakan penerima bajet terbesar daripada bajet penuh NKRA di bawah NTP ini.
Misalnya, Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang sepanjang 1,089 kilometer, dari Teluk Melano hingga ke Lawas, bakal menjadi nadi perubahan utama. Projek ini membuka lebih banyak peluang ekonomi di kawasan yang direntanginya.
Lebuhraya bebas tol ini, yang besar ertinya kepada rakyat Sarawak, dianggarkan bernilai RM16 bilion. Selanjutnya, dalam usaha Kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar, lebih 1.5 juta individu di Bumi Kenyalang yang terdiri antara lain, dari etnik Iban, Melayu, Bidayuh, Melanau, Kedayan, Kelabit, Kenyah dan juga Penan, telah menikmati perubahan kualiti hidup.
Program pembangunan ini, termasuklah menerusi pembinaan jalan raya, penyediaan air bersih dan terawat, pembinaan rumah serta bekalan elektrik 24 jam.
Salah seorang penerima bantuan bekalan elektrik pada tahun lepas ialah, yang berada bersama kita pada malam ini, Tuan Pemanca Philip, berketurunan Kelabit, dari Kampung Pa’ Ramapuh Atas, Bario, Sarawak.
Kini, dengan bekalan elektrik 24 jam, mereka dapat menyimpan makanan di dalam peti sejuk dengan jangka yang lebih lama, seterusnya menikmati kehidupan yang lebih selesa. Sejak lima tahun lepas, sejumlah lebih seribu rumah panjang telah dibekalkan dengan bantuan elektrik 24 jam.
Selain itu, antara kejayaan lain di luar bandar Sarawak, adalah pembinaan dan baik-pulih hampir 2,400 buah rumah. Antaranya, Rumah Panjang Berago Sungai Temedak dan rumah-rumah penduduk kampung di Katibas Song, Sarawak.
Di samping itu, tahun lalu, setelah mendapati Kapit merupakan satu-satunya Bahagian di Sarawak, yang tidak mempunyai jaringan jalan darat ke dunia luar, saya telah mengumumkan pembinaan rangkaian jalan yang terputus di Kapit, atau yang saya panggil, the missing link.
Sebelum ini, penduduk di daerah Kapit dan Song misalnya, menggunakan sungai sebagai kaedah pengangkutan utama untuk mereka berhubung. Makanya, kerajaan telah memutuskan agar the missing link yang bernilai RM150 juta dilaksanakan untuk melengkapkan Projek Jalan Kanowit-Song-Kapit. Projek ini akan memberi manfaat kepada hampir 100,000 penduduk.
Di Sarawak juga, dalam konteks mempertingkatkan taraf hidup isi rumah termasuk golongan B40, terdapat sebahagian rakyatnya yang telah menyaksikan peningkatan pendapatan yang ketara melalui penyertaan dalam program 1AZAM.
Salah seorang penerima manfaat 1AZAM Tani ialah Sidi anak Tuba dari Sungai Liuk, Mukah di Sarawak. Sebelum beliau menyertai 1AZAM Tani pada 2010, saya dimaklumkan, jumlah pendapatan isi rumah Sidi hanyalah RM450 sebulan.
Apa yang Encik Sidi kita ni buat sehari-harian? Saya diberitahu, melalui program 1AZAM ini, di bawah kendalian Jabatan Pertanian Sarawak, Sidi menanam jagung dan sayuran lain di tanah miliknya seluas 3.6 hektar. Hasil tuaiannya kemudian, bukan sahaja dijual di sekeliling kampung, bahkan hingga ke pasar Mukah.
Tampaknya, dengan NTP, nasib beliau dan keluarga telah ditransformasi dan terbela. Kini, pendapatannya meningkat berjulat berganda daripada hanya RM450 menjadi sehingga RM9,000 sebulan.
Inilah satu lagi kejayaan dan percontohan yang begitu memberangsangkan. Tahniah,… tahniah Encik Sidi anak Tuba!
Seperkara yang patut diketahui semua, ehwal hidup Sidi anak Tuba dan Chik Azmily yang telah saya kongsikan tadi, mereka adalah di antara 287,000 ketua isi rumah di Malaysia, yang telah menerima manfaat daripada program 1AZAM ini, seterusnya, apa yang lebih mustahak,merubah kehidupan mereka sekeluarga kepada yang lebih baik dari hari-hari kelmarin.
Di samping itu, sejak 2009, di bawah Program Penyeragaman Harga, kerajaan telah berusaha untuk memastikan barangan keperluan asas mampu dimiliki, oleh setiap golongan rakyat pada harga yang berpatutan, sama ada di Sabah mahupun di Sarawak.
Lalu, bagi mengatasinya, kerajaan telah memberi subsidi kos pengangkutan daripada pembekal kepada peniaga yang menjual keperluan seperti beras, tepung, gula, minyak masak, LPG, Petrol RON 95 dan diesel kepada penduduk di kawasan pedalaman, yang kebanyakannya terletak di Sabah dan Sarawak.
Sebagai contoh, harga beras 10 kilo, yang dahulunya RM40 di Ba’kalalan Sarawak, dengan adanya subsidi ini,kini berharga RM18 sahaja.
Namun, kerajaan menyedari bahawa, masih ada penyeragaman harga barangan yang lain, yang perlu dilakukan di masa hadapan.
Menjengah ke bumi Sabah pula, yang saya baru sahaja lawati dua hari lepas untuk melihat sendiri titik permulaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, satu lagi cerita kejayaan program transformasi ini adalah tentang Encik Patang Saharing dari Tawau.
Saya difahamkan, beliau telah menubuhkan Spa Pergigian, yang kreatif dan out of box atau berfikir di luar kotak. Spa beliau, menggabungkan khidmat pergigian dalam persekitaran berkonsep spa yang bersuasana santai dan kondusif, sekali gus lari dari stigma yang seringkali kita dengar rasa takut dan trauma apabila hendak berkunjung ke klinik gigi yang biasa. Sebenarnya saya sendiri pun berasa nak tau macam mana pengalaman mencabut gigi di sebuah klinik spa pergigian.
Tapi, apa yang pasti, idea unik saudara Patang Saharing ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat, sehinggakan klinik beliau beroperasi ke tahap kapasiti maksimum setiap hari.
Lebih membanggakan, anak muda ini merupakan hasil kejayaan program Skim Permulaan Usahawan Bumiputera atau SUPERB. Syabas dan tepukan kepada Encik Patang Saharing!
Walau apapun kisah dan ceritera kejayaan serta penghargaan, juga pengiktirafan yang hebat lagi muluk-muluk diterima oleh Malaysia, kesempurnaan hidup dan perjalanannya, tidak akan indah sekiranya kita mengambil sikap mudah berpuas hati terhadap apa yang telah dikecapi.
PENGISLAHAN
Apa yang ingin saya tekankan di sini, usaha-usaha pengislahan, pembaikan kepada kelemahan-kelemahan yang wujud di sana-sini, di samping, mesti terus mencetuskan idea-idea yang kreatif dan berinovasi, demi meningkatkan produktiviti serta kelestarian masa depan negara.
Dalam hal ini, suka saya membawa satu lagi kisah rakan kita, dari Kuala Krau Pahang, Encik Lia Ah Kau seorang pekebun kecil sawit.
Kita berasa senang hati, apabila beliau begitu menghargai usaha kerajaan dalam membantunya menanam semula pokok kelapa sawit yang sudah berusia 40 tahun, sekali gus meningkatkan pendapatannya. Kini, beliau menjangkakan hasil tuaian, sekurang-kurangnya 30 peratus lebih banyak berbanding sebelumnya.
Encik Lia Ah Kau ialah salah seorang daripada hampir 55,000 pekebun kecil, yang menerima bantuan kerajaan, untuk memajukan ladang-ladang mereka.
Dengan bantuan ini, membolehkan Encik Lia Ah Kau meningkatkan produktiviti ladangnya dengan penggunaan jentera dalam operasi seharian beliau. Kita ucapkan selamat maju jaya dan syabas kepada Encik Lia Ah Kau!
Hakikatnya, saudara dan saudari sekalian, jika setiap rakyat Malaysia boleh meningkatkan daya saing dan produktiviti serta inovasi, impian menjadi negara pendapatan tinggi sudah pasti berada dalam genggaman kita.
Maksud saya, kalau rakyat mahukan pendapatan lebih, harus kita ingat, tahap produktiviti perlulah ditingkatkan dahulu. Siapa yang berusaha lebih dan mempunyai ilmu serta kemahiran relevan yang pelbagai pula, pastinya berupaya menjana pendapatan yang lebih dan sewajarnya.
Sebab itulah kita boleh mencontohi syarikat Uzma Berhad, yang digelar ‘Schlumberger Malaysia’, diketuai oleh Datuk Kamarul Redzuan Muhamed.
Syarikat ini telah berkembang melalui kaedah dan perolehan yang organik untuk menjadi peneraju dalam sektor perkhidmatan huluan minyak dan gas tanpa bergantung pada sebarang bantuan daripada kerajaan. Pada hari ini, kita berbangga melihat Uzma Berhad telah beroperasi di 36 buah negara.
Apabila kita bercakap tentang kejayaan para usahawan dan syarikat-syarikat di negara ini, sama ada yang mendapat bantuan langsung dari pihak kerajaan ataupun yang lain-lain dengan menempa kejayaan atas titik peluh sendiri, mahu tidak mahu, semua orang harus memperakui dan sedar akan satu hakikat yang amat penting, sebagaimana saya sebutkan di permulaan ucapan bahawa, janganlah sesekali kita lupa…semuanya tidak mungkin menjadi realiti dan mampu meraih cita-cita masing-masing, seandai dan sekiranya, tiada keamanan dan perpaduan serta sangat mustahak lagi keberadaan negara dalam suasana maju dan makmur secara keseluruhan, tidak lain dan tidak bukan, hasil usaha pentadbiran kerajaan yang cekap dalam mewujudkan persekitaran negara yang berdaya saing sehingga munculnya peluang-peluang yang terbuka.
Dalam hal ini, antara lain, saya merujuk kepada satu lagi contoh kejayaan anak tempatan menerusi syarikat Paparich MalaysiaSdn Bhd. Syarikat francais ini, dimiliki oleh Datuk Rich Tan dan Encik Chen Kai Woon.
Mereka telah memanfaatkan kepesatan kemajuan negara dan membina empayar perniagaan sendiri,… bermula dengan pembukaan restoran pertama mereka pada 2005, Paparich kini mempunyai 82 outlet di Malaysia, serta 38 lagi, di luar negara antaranya China, Australia, Amerika Syarikat, Korea dan Indonesia.
Dengan yang demikian, contoh-contoh kejayaan keusahawanan dan korporat yang pelbagai di negara ini wajar dijadikan teladan. Ayuhlah kita berikan tepukan syabas serta tahniah kepada Syarikat Uzma Berhad dan Paparich Malaysia Sdn Bhd!
TIDAK MAHU TERGANGGU
Sebagai kesimpulannya, pada hemat saya, berpaut kepada prinsip tawaduk, kerendahan hati lagi bertawakal, selaku Ketua Kerajaan memperakukan bahawa saya bersama Timbalan Perdana Menteri, serta anggota jemaah pentadbiran yang lain, sejak bertahun-tahun, tidak mungkin dapat melakukan semua ini tanpa sokongan, dokongan dan kefahaman rakyat sekalian.
Lantaran itu, apa yang paling baik adalah, rakyat dan kerajaan harus saling mendekati, damping-mendampingi umpama aur dengan tebing, bagai irama dengan lagu, dalam menaruh yakin serta percaya terhadap komitmen juga inisiatif-inisiatif kerajaan selama ini.
Akan tetapi, yang tidak manisnya dalam pada itu, ada sesetengah pihak yang berniat serong, berhati kotor dan hasad, tidak sudah-sudah ingin mengkhianati kerajaan serta negara sendiri dengan tindak-tanduk yang mengeruhkan suasana, menangguk di air keruh sehingga memesongkan fikiran segolongan rakyat.
Di persimpangan ini, kita harus beringat-ingat bahawa, negara kita ini negara yang berdaulat, merdeka lagi berundang-undang.
Maksudnya, kita tidak boleh berbuat sesuka hati, dengan mengajak rakyat bertindak di luar batas-batas undang-undang, rule of law dan apa yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan. Termasuklah mengadakan deklarasi-deklarasi dan membuat referendum, dengan mengutip tandatangan orang ramai untuk tujuan-tujuan tidak baik yang tertentu.
Ketahuilah, semua ini adalah salah dan tidak betul di sisi undang-undang.
Pokoknya, pada helaan nafas yang sama, kerajaan mengambil jalan, tidak mahu terganggu oleh hal-hal yang membuang masa lagi tidak membawa apa-apa faedah.
Sebaliknya, akan terus menjalankan amanah lebih besar yang telah dimandatkan, yakni menumpu sepenuh jiwa dan raga memacu serta menjulang Malaysia ke persada seperti yang dijanji-janjikan.
Inilah dia sikap, inilah dia pendirian, inilah dia tekad Kerajaan Barisan Nasional, sejak dulu lagi… yang bersungguh-sungguh menyemai benih-benih subur, di mana sekarang ini, hari demi hari, makin tumbuh dengan buah-buah kemajuan yang segar dan ranum bagi dinikmati oleh rakyat seluruhnya.
kerjasama yang erat
Ladies and gentlemen,
Indeed! Let there be no doubt that, despite the challenges we face, this government will never lose focus on delivering for the people. These challenges only make us stronger. We see them not as a hindrance, but as a catalyst. The alternative is simply not an option, for we have promises to fulfil, a vision to realise and a country to strengthen.
Berbalik kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan berlangsung pada 7 Mei ini, kita yakin rakyat Sarawak akan memilih Kerajaan Barisan Nasional yang sudah lama menabur bakti dan jasa.
Atas semuanya ini, segala kemajuan di Sarawak tidak akan berlaku, tanpa kerjasama yang erat antara Persekutuan dan Kerajaan Negeri, Pejabat-pejabat Daerah, pemimpin dan komuniti setempat.
Tentunya, tidak sesekali kita lupakan Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem, yang selama dua tahun di bawah kepimpinan beliau, telah berjaya menambat hati dan meyakinkan masyarakat dengan personaliti serta pendekatan beliau yang sangat mesra.
Jelasnya, kepada semua khususnya rakyat di bumi Kenyalang, yang sudi panggil dan gelar saya ‘Apai Besar Malaysia’, bersama ‘Apai Besar Sarawak’ Tan Sri Adenan Satem, beriring, seia dan sekata, akan gigih membangunkan Sarawak, supaya terus maju gagah di persadanya.
Kita doakan, semoga rakyat Sarawak akan memberi sokongan yang padu dan kejayaan besar kepada pimpinan Apai Besar Sarawak.
Sebagaimana yang semua maklum, siang tadi, genderang dan gema semboyan telah mula dibunyikan, di Kuching.
Lantas, kita mahu, tiupan semangat yang sedang dihembus laju berolak-olak dari Bumi Kenyalang, dengan izin Tuhan yang Maha Berkuasa, kita doakan juga, bakal berarak menuju pula ke Sabah negeri di Bawah Bayu, dan apabila sampai masa juga ketikanya nanti, semangat perjuangan Barisan Nasional yang sedang kini marak menyala, akan berderu kencang pula di Tanah Semenanjung, dan akan membawa obor kemenangan kepada Barisan Nasional di Pilihan Raya Umum ke-14 kelak, Insya-Allah.
Lalunya, dalam menongkah kemajuan negara, saya mengulangi seruan untuk semua berjiwa besar, bersatu dan bersetia membangunkan Malaysia, berpantang ajal berbalik haluan.
Pokoknya, marilah kita menjadikan mentari esok lebih cerah pawananya dan sinar hidup lusa serta hari mendatang yang menjanjikan kejayaan saujana terbentang.
Akhirul kalam, dengan azam dan tawakal, kita angkat doa setingginya agar Tuhan yang Maha Mengkehendaki terus mengizin-izin dan memberi pertolongan-Nya, supaya,… supaya,…negaralah kita,… negaralah kita,… haii… aman dan sentosa.
Sekian, terima kasih.
Petikan;
“Kita juga sekarang berada di tangga kesembilan,dan menjadi satu-satunya negara emerging market yang tersenarai dalam top-10, bagi Financial Market Development oleh World Economic Forum Global Competitiveness Ranking 2015-2016.
Box: Teks ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Pelancaran Laporan Tahunan 2015 Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) di bawah Dasar Transformasi Nasional (DTN) semalam.
sempena Pelancaran Laporan Tahunan 2015 Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan
PROGRAM
sempena Pelancaran Laporan Tahunan 2015 Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) di bawah Dasar Transformasi Nasional (DTN)
Program Transformasi Ekonomi (ETP) di bawah Dasar Transformasi Nasional (DTN)
Lantas, ingin dilaporkan bahawa, berbanding tahun 2010 di mana, pendapatan negara kasar per kapita sekitar RM28,000 telah meningkat sebanyak 30 peratus bagi tahun 2015, menjadi lebih RM36,000.
URL : http://www.utusan.com.my/rencana/membina-negara-untuk-rakyat-1.292791