BERNAMA – 27 April 2016
KUCHING, 24 April (Bernama) — Bagi penggemar makanan pencuci mulut, aiskrim gula apong mungkin dapat ‘menyejukkan’ bahang pilihan raya negeri (PRN) Sarawak kali ini yang semakin dirasai.
Apa tidaknya, ribuan sedang menunggu dengan penuh debaran proses penamaan calon esok dan pengundian pada 7 Mei depan.
Ramai yang memilih kafe atau tempat minum secara santai untuk berbincang dan berbual mengenai politik yang akan menentukan masa depan mereka, sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun akan datang.
Antara premis yang menjadi tumpuan ialah premis menjual aiskrim gula apong di sini.
Pemiliknya Masni Paruwadi, 27, berkata jualan aiskrim gula apong atau turut dikenali gula nipah itu meningkat secara mendadak dalam beberapa minggu lepas berikutan kehadiran pengunjung luar yang datang ke Bumi Kenyalang itu bagi memeriahkan lagi suasana pilihan raya negeri.
Menceritakan permulaannya membangunkan perniagaan aiskrim itu, Masni, ibu kepada enam anak itu, berkata segalanya bermula setahun lepas apabila dia dan anggota keluarga berniaga aiskrim biasa yang diadunkan sirap gula apong, di pasar malam.
Namun, mereka menerima kritikan pelanggan yang menyatakan ais krim tersebut bukanlah aiskrim gula apong yang sebenar.
“Jadi bapa saya (Datuk Paruwadi Musa) pun mulalah mencuba pelbagai kaedah mengadunkan aiskrim dengan gula apong sehinggalah mendapat rasa yang terbaik,” katanya sambil menyatakan perniagaannya berpindah ke sebuah kedai di sini pada April 2015.
Bermula dengan modal RM14,000 hasil simpanan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk membeli sebuah mesin dan bahan mentah, Masni kini meraih pendapatan sehingga mencecah lima angka sebulan terutama pada musim panas dan cuti sekolah.
Masni kini memiliki lapan mesin membuat aiskrim dan menggaji enam pekerja bagi dua cawangannya di Padungan di sini, dan Kota Samarahan yang diuruskannya bersama suami Mohd Supian Lopok, 28.
Lima cawangan lagi di Uptown Civic Centre, Tabuan Park, Taman Sukma, Batu Kawa dan Matang, kesemuanya di Kuching, diuruskan oleh kakak dan adiknya.
Masni lulusan Curtin University di Sydney, Australia, dalam jurusan Perakaunan itu berkata aiskrim gula apong menjadi kegemaran ramai kerana keunikan rasa lemak manis yang dihasilkan dari nira pokok kelapa, yang merupakan bahan makanan sebati dengan masyarakat Sarawak.
Kini aiskrim itu mampu dijual sebanyak 5,000 cawan atau 100 kilogram sehari bagi setiap cawangan.
Selain itu, produk anak jati Sarawak tersebut bakal melebarkan sayapnya ke Bandar Seri Begawan, Brunei selepas Hari Raya Aidilfitri pada Julai.
Mengenai perancangan membuka cawangan di Semenanjung Malaysia, Masni berkata beliau sedang mencari keadah terbaik untuk membawa gula apong ke sana tanpa melibatkan kos yang tinggi bagi mengekalkan harga aiskrim RM2 untuk sebuah mangkuk kecil dan RM5 bagi mangkuk besar.
“Jika satu cawangan sahaja memerlukan 100 kilogram gula apong sehari, untuk dibawa ke Semenanjung memerlukan penghantaran sekurang-kurangnya satu tan seminggu,” katanya.
Masni juga bercadang membuka francaisnya di seluruh negeri bagi memberi lebih peluang kepada masyarakat tempatan terutama Bumiputera untuk mencari rezeki.
Dalam pada itu, beliau berharap sesiapa sahaja yang diberi mandat memimpin Sarawak pada pilihan raya negeri nanti, supaya membantu golongan muda Bumiputera yang ingin memulakan perniagaan dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk tapak dan perkakas berniaga.
“Golongan muda Bumiputera juga perlu dibantu dan dibimbing dalam urusan permohonan lesen perniagaan kerana ramai di antara golongan itu tidak mempunyai pengetahuan tentang prosedur tersebut yang rumit sehingga menyebabkan minat mereka untuk memulakan perniagaan pudar,” katanya.
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1238605