Sinar Harian – 25 April 2016
Razali (tiga, kiri) merasmikan program di pentas utama dengan gimik perasmian sambil disaksikan Ghani (dua kanan) dan Makhtar (kanan).
KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyeru supaya penyewa tapak (francisi) mendaftar dengan pihaknya bagi melancarkan perniagaan dan tidak hanya berniaga sekerat jalan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Francais dan Kepenggunaan) KPDNKK, Datuk Razali Othman berkata, setakat ini hanya 813 francisi yang mendaftar di seluruh Malaysia dan masih ramai yang tidak mendaftar.
“Jika mereka tidak mendaftar dan berlaku kerugian dalam perniagaan, kita tidak dapat mengesan mereka dan segala hasil usaha dan penat lelah mereka itu hanya sia-sia.
“Kita ingin membantu golongan ini berjaya dan tidak mahu melihat mereka hanya berniaga untuk mendapatkan keuntungan sahaja tanpa semangat kekeluargaan, memandangkan dalam komuniti francais kita bekerja seperti dalam satu keluarga dan berpasukan,” katanya kepada media.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Francais Komuniti Zon Timur 2016 di ruang legar pusat membeli-belah KB Mall di sini semalam.
Hadir sama, Pengarah KPNDKK Kelantan, Datuk Abd Ghani Harun dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapa.
Terdahulu, Razali merasmikan program terbabit yang buat julung kalinya diadakan di Zon Timur yang memilih Kelantan sebagai destinasi utama sebelum singgah di beberapa destinasi lagi termasuk Melaka, Selangor, Kedah, Sabah dan Sarawak.
Dalam program itu di negeri ini, seramai 18 francaisi tempatan yang sedang aktif menempa nama di tanah air di bawa dalam program itu dan diharapkan usaha itu dapat melatih usahawan dan dapat mengembangkan perniagaan francais mereka ke pasaran antarabangsa.
Razali berkata, pihaknya juga turut mengesan ada francaisi yang gagal dalam perniagaan mereka ekoran tidak mempunyai pengalaman.
“Oleh itu kita galakkan peniaga-peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) supaya menceburi bidang francisi supaya dapat meneruskan perniagaan ke peringkat lebih baik dan terus maju.
“Kebanyakan yang gagal adalah mereka yang sebelum ini langsung tidak tahu selok-belok berniaga dan tidak berusaha memahirkan diri dalam bidang niaga dan hanya mahu kaut keuntungan semata-mata,” katanya.
URL : http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/masih-ramai-francisi-tidak-daftar-ssm-1.512930