BERNAMA – 24 MARCH 2016
KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) — Pajak gadai Islam, Ar-Rahnu Bank Rakyat mencatat baki pinjaman sebanyak RM1.9 bilion atau 38 peratus daripada jumlah syer pasaran yang dianggarkan RM5 bilion pada tahun 2015.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata senario itu jelas menunjukkan bahawa produk pajak gadai Islam itu konsisten serta ada potensi.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar pihak koperasi mengambil peluang terhadap potensi perniagaan berkenaan.
“Bagaimanapun, industri pajak gadai Islam ini perlu dipantau oleh badan berkaitan supaya tiada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atau menyalahgunakannya,” katanya di Majlis Anugerah Ar-Rahnu X’Change 2015 di sini, hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Jamil Salleh. Hadir sama, Pengerusi Bank Rakyat Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal.
Perniagaan francais Ar-Rahnu X’Change merupakan salah satu program Rakyat Management Services Sdn Bhd (RManagement), anak syarikat milik penuh Bank Rakyat bagi berkongsi kepakaran operasi Ar-Rahnunya sejak 1993 kepada koperasi yang berminat menceburi perniagaan itu.
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1228084