16 March 2015 – Sinar Harian
PENGELUAR pakaian Muslimah, Mirage Resources Sdn Bhd (Mirage Resources) yang mengendalikan butik fesyen jenama Zawara bakal meneroka pasaran baharu dalam perniagaan kedai kopi, dua bulan lagi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Ariff Karim berkata, syarikat itu akan membuka cawangan pertama kedai kopinya, Zawara Coffee di Bukit Jelutong, Shah Alam, Mei ini.
“Kami buka kedai kopi ini bagi mengembangkan rangkaian perniagaan francais kami.
“Bukit Jelutong dipilih menjadi lokasi pertama pembukaannya kerana kawasan itu menjadi tumpuan ramai terutama orang Islam, selain tiada lagi pesaing lain membuka kedai kopi di situ. Kami yakin Zawara Coffee mampu menarik ramai pelanggan,” katanya pada Karnival Zawara Busana, kelmarin.
Beliau berkata, Mirage Resources melabur RM450,000 untuk membuka Zawara Coffee dilengkapi dengan peralatan membuat kopi.
“Zawara akan membawakan kopi berkualiti diimport daripada Itali yang dijamin halal,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk membuka 150 cawangan Zawara Coffee di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun.
“Kami juga beri peluang kepada francaisi Zawara membuka Zawara Coffee ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Mirage Resources akan membuka lapan lagi cawangan butik Zawara di seluruh negara pada tahun ini.
“Kawasan itu termasuklah di Manjung, Kuala Terengganu, Jitra, Perlis, Kuching, Seremban, Kota Kinabalu dan Miri,” katanya.
Zawara yang dibuka pada 2013 itu menjual pelbagai jenis blaus, dress labuh, skirt dan tudung.