4 November 2014 – Sinar Harian
PENGELUAR pakaian Muslimah, Mirage Resources Sdn Bhd (Mirage Resources), menerusi jenama Zawara berhasrat meluaskan rangkaian perniagaannya dengan mencari lokasi strategik bagi cawangan francais baharu.
Pengarah Mirage Resources, Nur Fadilla Abd Karim berkata, syarikat itu menyasarkan membuka empat cawangan Zawara di negara ini menjelang hujung tahun depan iaitu di Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
“Kita terima banyak permohonan daripada mereka yang berminat untuk buka cawangan Zawara di negeri itu.
“Proses pemilihan francaisi kami agak ketat kerana kami bukan saja mahu cari orang yang mahu jadi jurujual, tetapi kami sebenarnya mencari rakan kongsi perniagaan dan juga mereka yang benar-benar minat fesyen,” katanya.
Beliau berkata, Zawara yang ditubuhkan pada 2012 kini mempunyai 11 cawangan melibatkan Menara Mara, Shah Alam, Johor Bahru, Bangi, Wangsa Melawati, Kota Bharu, Kota Damansara, Sungai Petani, Kuantan, Ipoh dan Pulau Pinang.
“Pada 2012, kami memulakan perniagaan menerusi atas talian sebelum membuka kedai pertama di Menara Mara setahun kemudian, dan menerima lesen francais pada Januari tahun ini,” katanya.
Menurutnya, Zawara mempunyai pelbagai jenis koleksi fesyen Muslimah lengkap kontemporari terdiri daripada tudung, hijab ekspres, jaket, blaus, dress labuh, jubah, palazo dan skirt.
“Setiap minggu, Zawara akan mengeluarkan satu koleksi baharu dan dalam setahun, kita akan menghasilkan sekurang-kurangnya 48 koleksi baru mengikut inspirasi antarabangsa dan menggunakan warna mengikut trend terkini.
“Ini membolehkan pelanggan mempunyai pelbagai pilihan dan mewujudkan kelainan jika mereka berkunjung ke kedai kami,” katanya.
Walaupun fesyen Muslimah banyak didapati di pasaran ketika ini, Nur Fadilla bagaimanapun optimis Zawara mampu pergi lebih jauh dengan kelainan konsep koleksi yang ditampilkan.
“Koleksi kami adalah untuk Muslimah kontemporari yang sesuai untuk wanita di seluruh dunia.
“Tambahan pula, pesaing memberi persaingan sihat kerana membuatkan orang ramai mempunyai banyak pilihan busana Muslimah pada harga berpatutan. Dulu, kita lihat, harga fesyen Muslimah sangat mahal, sekarang tidak lagi, sebaliknya ia akan memberi persaingan kepada pengeluar untuk menghasilkan fesyen lebih cantik,” katanya.
Beliau berkata, Zawara merancang meneroka pasaran luar negara seperti Indonesia dan Dubai menjelang 2016.