Kuala Lumpur, 17 Ogos 2024,
Kaum wanita berperanan penting dalam pembangunan ekonomi negara terutamanya bidang keusahawanan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, sejumlah 20.6 peratus daripada keseluruhan entiti perniagaan di negara ini adalah milikan wanita.
“Ini menunjukkan peranan kaum wanita dalam pembangunan ekonomi negara adalah signifikan dan tidak harus dipandang enteng.
“Menyedari kepentingan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan usahawan wanita dalam memperkasa ekonomi negara, kerajaan menerusi pelbagai kementerian dan agensi seperti KUSKOP dan SME Corp.
“Malaysia terus melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program-program pembangunan bagi memperkasa dan meningkatkan lagi daya saing PMKS termasuk usahawan wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program ‘Executive Masters in Beyond Economics – Creating Distinctive Womenpreneur in Wealth, Brain, Beauty & Behaviour (WeBBB)’-MADANI Women Empowerment anjuran Persatuan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (USAHANITA), di sini kelmarin.
Ewon percaya program ini bukan sahaja satu pencapaian penting dalam usaha memartabatkan wanita dalam bidang keusahawanan, tetapi komitmen USAHANITA terhadap visi Malaysia Madani mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan berdaya saing.
“Visi ini tidak akan dapat dicapai tanpa penglibatan aktif dan berkesan daripada golongan usahawan wanita. Program WeBBB adalah satu langkah proaktif untuk memacu kemajuan usahawan wanita di Malaysia.
“Saya difahamkan SME Corp. Malaysia akan bekerjasama dalam membangun dan melaksanakan salah satu modul kursus Program WeBBB iaitu Modul Beyond Economics. Antara topik yang akan dilaksanakan di bawah modul ini termasuk kesedaran mengenai ESG, business pitching, pemadanan perniagaan dan komunikasi yang berkesan.
“Oleh itu, saya menyeru semua wanita yang beraspirasi tinggi supaya menceburi bidang keusahawanan,” katanya.
Ewon berkata, berdasarkan laporan Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA) tahun ini, sejumlah 286 program ditawarkan oleh pelbagai Kementerian dan agensi kepada PMKS termasuk syarikat milikan wanita dengan peruntukan berjumlah RM15.06 bilion.
Katanya, daripada jumlah itu, 27 program meletakkan usahawan dan syarikat milikan wanita sebagai sasaran utama dengan peruntukan berjumlah RM5.8 bilion.
“Selari dengan teras dan strategi yang digariskan di bawah Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030, KUSKOP meneruskan agenda membantu memperkasakan usahawan wanita dengan mempromosikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan di samping menyediakan platform bersesuaian untuk mereka mengembangkan perniagaan,” katanya.
Katanya lagi, KUSKOP bersama agensi di bawahnya terus komited menyediakan pelbagai program bantuan dan intervensi bersasar dalam meningkatkan keupayaan perniagaan dan kemahiran keusahawanan kepada usahawan wanita.
“Antaranya Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI) oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Skim Pembiayaan Francais / Pra Francais: Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) oleh PERNAS, Skim Pembiayaan Teman Tekun: TEKUN Wanita oleh TEKUN Nasional dan Program Insentif Usahawan UDA (PIUU): UDA Bizznita oleh UDA,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
Artikel Penuh : https://www.utusanborneo.com.my/2024/08/17/wanita-berperanan-penting-dalam-pembangunan-keusahawanan-negara