23 December 2014 – Kosmo
RANGKAIAN jenama Pizza terunggul di Malaysia, Papa John’s memperkenalkan konsep restorannya yang moden dengan rekaan dalaman lebih kontemporari.
Cawangan Papa John’s di Sunway Piramid, Subang Jaya, Selangor menjadi restoran pertama di negara ini yang tampil dengan wajah baharu tersebut.
Ketua Bahagian Perkhidmatan Francais Makanan Berjaya Papa John’s Pizza Sdn. Bhd., Eric Leong berkata, pengenalan konsep tersebut merupakan detik yang membanggakan kerana ia bukti komitmen syarikat itu terhadap pengguna di negara ini.
Jelasnya, Papa John’s sentiasa relevan (dari aspek dekorasi dalaman) dan berusaha mengadakan inovasi produk antarabangsa untuk pelanggan tempatan serta menawarkan pelbagai tawaran menarik.
“Restoran kami sekarang berkonsepkan moden dengan reka bentuk dalaman yang tersusun dan penggunaan perabot lebih kontemporari. Wajah baharu ini juga boleh dikatakan ala fine dining.
“Kini, para pelanggan juga berpeluang melihat sendiri proses membuat pizza kerana kami mengamalkan dapur terbuka menerusi konsep baharu ini,” katanya ketika majlis perasmian konsep baharu restoran Papa John’s di Sunway Piramid baru-baru ini.
Sempena majlis perasmian berkenaan, Papa John’s turut memperkenalkan menu pizza baharu iaitu Sweet Chili Pizza dan Pepperoni Ayam atau Bebola Ayam.
Kedua-dua jenis pizza tersebut adalah usahasama antara syarikat induk jenama itu, Papa John’s International Inc. dan francaisi Malaysia, Berjaya Pizza.
“Kerjasama ini berjaya menghasilkan pizza-pizza yang enak dan menggiurkan serta diharap dapat menepati citarasa pengguna tempatan,” katanya sambil memaklumkan, Papa John’s merancang untuk membuka 10 cawangan pada setiap tahun.
Dalam majlis tersebut, Papa John’s turut melancarkan kad keahlian istimewa Papa@Home. Pemegang kad itu boleh menikmati ganjaran seperti promosi beli satu percuma satu dan pelbagai tawaran menarik lain.
Pengenalan kad tersebut juga merupakan salah satu strategi untuk menghargai para pelanggan setia sambil menggalakkan lebih ramai penggemar pizza mencuba keenakan juadah yang disediakan oleh jenama itu.
Turut hadir ketika majlis pelancaran tersebut ialah Naib Presiden Operasi Papa John’s International Inc. (Asia), Toni Bianco dan pelakon terkenal, Intan Ladyana.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai promosi serta tawaran menarik daripada Papa John’s Malaysia, sila layari laman web www.papajohns.com.my.