Ipoh, 18 Jun 2023,
Sektor perniagaan francais kurang mendapat sambutan kalangan usahawan Perak, kata Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed.
Beliau berkata, setakat ini hanya 31 syarikat dan jenama francais tempatan menjalankan perniagaan mereka yang mana jumlah itu masih kurang berbanding negeri-negeri lain.
Menurutnya, keadaan itu didorong oleh faktor kurang pengetahuan dan tanggapan bahawa perniagaan francais memerlukan modal yang besar.
“Di pihak kerajaan negeri kita memang menggalakkan kerana melihat kepada konsep francais itu sendiri dapat memberi pulangan besar kepada usahawan, selain perniagaannya lebih teratur dan bersistem.
“Cuma kadangkala stigma usahawan, mereka melihat perniagaan ini lebih memerlukan modal yang besar. Mungkin juga disebabkan kurang pengetahuan tentang perniagaan francais yang di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program BizFrancais Perak 2023 di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Nasional Bhd (Pernas), Datuk Hazimah Zainuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek.
Salbiah berkata, pertumbuhan sektor francais turut diberi penekanan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, menerusi penganjuran pelbagai program keusahawanan yang diselaraskan bersama Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).
Pihaknya turut memantau dan mengikuti perkembangan beberapa jenama produk Perak yang telah meningkat naik dalam bidang francais antaranya apam balik KUHOT serta 21 Grilled yang baru dianugerahkan sebagai francaisor.
“Adanya siri jelajah diadakan Pernas ini, kita mengharapkan maklumat berkenaan perniagaan francais ini dapat disampaikan secara langsung kepada usahawan Perak.
“Saya selaku exco bertanggungjawab terhadap pembangunan usahawan sentiasa menyokong penglibatan dan kerjasama dalam membantu meramaikan usahawan Perak yang berminat untuk menceburi bidang francais,” katanya.
Antara syarikat dan jenama francais tempatan di Perak ialah Memory Research Centre (M) Sdn Bhd, Bebe Shop Sdn Bhd, Roti Segar (M) Sdn Bhd, Assam House Restaurant (1991) Sdn Bhd, Harolds Bread (M) Sdn Bhd, Moonlight Cake House Sdn Bhd dan Jom Dim Sum Sdn Bhd.
Sumber: Sinar Harian
Artikel Penuh: https://www.sinarharian.com.my/article/264087/edisi/perak/usahawan-perak-kurang-terlibat-francais