4 September 2014 – Malaysia Gazette
Biarpun sudah 20 tahun industri francais bertapak di negara ini namun aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) masih kurang diambil berat oleh usahawan tempatan sehingga menyebabkan mereka sukar bersaing di peringkat antarabangsa malah gagal mengekalkan perniagaan di pasaran domestik.
Menyedari kepentingan R&D bagi mengekalkan kelangsungan perniagaan dan jenama, Persatuan Francais Malaysia (MFA) mahu aspek tersebut diberi penekanan kepada usahawan serta bakal usahawan termasuklah memberi pendidikan awal kepada pelajar-pelajar universiti yang berminat menceburi bidang francais menerusi pelbagai program.
“Isu kelangsungan perniagaan ini bergantung kepada beberapa faktor termasuklah masalah dalaman dan pewarisan perniagaan namun terdapat juga perniagaan-perniagaan francais yang gagal diteruskan biarpun pernah mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan pada masa lalu berikutan tiada inovasi dalam produk dan perkhidmatan.
“Tidak ramai usahawan francais yang memberi penekanan kepada aspek inovasi sehingga menyebabkan produk dan perkhidmatan mereka menjadi lapuk dan tidak berdaya saing.
“Ini sangat menyedihkan apabila melihat perniagaan-perniagaan berpotensi tetapi tidak dapat bertahan lama apatah lagi berkembang ke peringkat antarabangsa kerana tiada inovasi,” kata Pengerusi Anugerah Francais 2014, Prof. Madya Dr. Mohd. Hizam Hanafiah semasa sidang media hari ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung MFA, Mohamad Shukri Salleh berkata, kepentingan R&D dibuktikan menerusi kejayaan usahawan-usahawan francais yang bersedia untuk melabur di dalam bidang tersebut dan sentiasa peka terhadap trend semasa.
“Jika kita melihat kepada francaisor-francaisor antarabangsa seperti McDonald’s dan KFC, mereka sentiasa melakukan inovasi bukan sahaja terhadap produk dan perkhidmatan malah kepada penjenamaan dan pengubahsuaian premis.
“Di peringkat tempatan pula, kita boleh melihat kepada kejayaan Smart Readers yang membuka satu lagi cabang perniagaan iaitu Smart Readers Islamic kerana sedar kepada trend semasa yang mahukan pendidikan awal kanak-kanak dalam bahasa Inggeris dan mengikut ajaran Islam. Sekarang mereka sudah membuka perniagaan di Dubai.
“Begitu juga dengan Secret Recipe yang tampil dengan pelbagai jenis menu dan kini meneroka perniagaan makanan kepada vegetarian menerusi Secret Recipe Beyond Veggie.
“Inilah yang kita mahu tengok iaitu lebih ramai usahawan yang melabur dalam R&D dan seterusnya mampu meneroka pasaran antarabangsa,” katanya lagi.
Tambah beliau, setakat ini peratusan usahawan francais yang sudah memasuki pasaran antarabangsa adalah sangat kecil berbanding keseluruhan industri francais di negara ini.
Daripada 751 sistem francais di negara ini hanya 58 sistem atau usahawan yang berjaya meneroka pasaran global. Mereka terdiri daripada usahawan francais dalam bidang pendidikan, makanan dan minuman dan kecantikan.
Disebabkan itu, MFA pada tahun ini memperkenalkan anugerah baharu iaitu Anugerah Francaisor Antarabangsa Terbaik dan Anugerah Francaisi Antarabangsa Terbaik bagi memberi pengiktirafan kepada usahawan francais yang cemerlang.
“Kita mahu meraikan pemain-pemain industri yang berjaya di peringkat antarabangsa di samping memberi galakkan supaya lebih ramai usahawan yang berusaha untuk meneroka pasaran luar.
“Kalau boleh kita mahu melihat apa yang Mc Donald’s dan KFC lakukan kepada Amerika Syarikat di mana mereka mengembangkan perniagaan ke seluruh dunia, mengaut keuntungan kepada syarikat mereka tetapi akhirnya tetap menyumbang kepada negara asal iaitu Amerika, juga berlaku kepada usahawan francais tempatan yang bertapak di luar negara iaitu pada akhirnya mereka menyumbang juga kepada Malaysia,” katanya.
MFA bakal mengadakan Anugerah Francais Malaysia 2014 pada 31 Oktober ini.