Bernama – 30 Disember 2015
KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) — Keuntungan sebelum cukai Borneo Oil Bhd’s (BornOil) melonjak kepada RM5.26 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Okt 2015 daripada RM1.47 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata pendapatan meningkat kepada RM23.96 juta daripada RM21.16 juta sebelum ini.
“Bahagian makanan segera kami terus mencatat prestasi yang sangat bagus. Selain sumbangan outlet makanan segera SugarBun sedia ada, pembukaan rangkaian francais piza Pezzo baharu memberi sumbangan seterusnya kepada hasil jualan keseluruhan,” kata Pengarah Eksekutif BornOil, Raymond Teo dalam kenyataan berasingan, di sini Selasa.
“Bahagian perlombongan, tenaga dan yang berkaitan turut mencatat prestasi baik dan kami gembira semua enjin penjanaan pendapatan kami mula beroperasi sepenuhnya.
“Kami menyasarkan untuk menutup tahun kewangan semasa dengan prestasi cemerlang dan yakin 2015 menjadi permulaan untuk kejayaan lebih besar pada masa akan datang untuk BornOil,” kata Teo.
Anak syarikat milik penuh BornOil, SB Supply Logistics Sdn Bhd merupakan pemegang lesen induk francais piza Pezzo.
Teo berkata pengembangan rangkaian Pezzo lebih pantas daripada jangkaan awal dengan 32 kiosk beroperasi setakat ini.
Beliau berkata syarikat merancang untuk membuka 65 outlet lagi tahun depan termasuk 40 di Sabah dan Sarawak, 20 di Semenanjung Malaysia, tiga di Brunei dan dua di Kalimantan Barat.
Sementara itu, satu lagi subsidiari, SB Franchise Management Sn Bhd yang memiliki 83 outlet SugarBun di Malaysia dan seberang laut merancang untuk membuka 20 kedai lagi di dalam dan luar negara iaitu Australia, Kepulauan Solomon, Myanmar dan Kemboja.
Teo berkata BornOil juga sedang mengusahakan satu atau dua jenama untuk dilancarkan pada 2016 bagi memperluas jangkauan perniagaan makanan dan minuman Kumpulan.
Mengenai kegiatan perlombongan Kumpulan, Teo berkata BornOil sedang mencipta semula syarikat sebagai proksi kepada industri perlombongan emas Malaysia.
Setakat ini BornOil telah memeterai perjanjian perkongsian pengeluaran eksklusif untuk menjalankan kerja-kerja perlombongan di lima tapak di kawasan seluas 1,500 hektar di Pahang.
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1202933