7 April 2015 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 6 April – Jenama busana muslimah tempatan, Ummi Riaz Global (M) Sdn. Bhd. (Ummi Riaz) optimis akan meneroka segmen perniagaan ke peringkat yang lebih cemerlang dengan menawarkan jenama itu secara francais.
Pengasas dan Pengarah Urusan Ummi Riaz, Azura Shafawi berkata, langkah yang dilakukan berkenaan merupakan peluang yang terbaik dalam mengembangkan jenama itu untuk lebih dikenali ramai dan mendapat keyakinan daripada pengguna setia Ummi Riaz.
Katanya, segmen francais tersebut akan mula dilaksanakan dan dikuatkuasakan kepada mereka yang memohon untuk beroperasi menggunakan jenama itu mulai tahun 2016.
Ujarnya, setakat ini Ummi Riaz mempunyai lima cawangan yang terletak di beberapa lokasi strategik seperti di Shah Alam, Bangi, Kuala Selangor, Gong Badak dan Seberang Perai malah pada pertengahan tahun ini dijangka akan membuka dua lagi cawangan di Melaka dan Sepang.
“Buat masa ini ke semua cawangan saya adalah menggunakan konsep perlesenan untuk menggunakan nama Ummi Riaz. Mereka di cawangan bebas untuk menjalankan operasi perniagaan mengikut kreativiti masing-masing asalkan tidak lari dengan konsep dan objektif utama,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bagi pengendalian operasi perniagaan ini, butik busana itu mempunyai sebanyak 12 buah mesin jahit di Johor Bahru dan 15 buah mesin jahit bagi kilang yang beroperasi di Kuala Lumpur dengan tenaga pekerja mahir sebanyak lapan orang bagi setiap kilang jahit.
Selain menjual pakaian Muslimah yang sedia siap, ia juga turut menerima tempahan untuk jahitan eksklusif mengikut permintaan daripada pelanggan yang inginkan kelainan dan potongan yang mengikut cita rasa di samping tempahan jahitan secara pukal.
Jelas Azura, bahan yang digunakan oleh butiknya untuk menghasilkan busana itu menggunakan bahan fabrik yang diimport khas dari negara luar supaya menepati kualiti dan kehendak pakaian yang dihasilkan.
Sementara itu, mengenai kejayaan yang ditempa oleh jenama Ummi Riaz, jenama berkenaan telah menyertai Ekspo Wanita Saverah London 2015 dan menganggap peluang yang diberikan itu akan dijadikan sebagai platform terbaik bagi jenama fesyen Muslimah tempatan untuk mencuri tempat di kota London, yang sememangnya dikenali sebagai salah satu kota fesyen dunia.
Katanya, Ekspo yang menjadi acara terbesar bagi komuniti Islam khususnya wanita di United Kingdom itu dapat menjadi medan bagi usahawan-usahawan wanita, pereka fesyen, dan peneraju perniagaan dari pelbagai negara memasarkan produk serta perkhidmatan mereka dengan lebih efektif lagi.
Syarikat perusahaan busana muslimah yang dibantu oleh Permodalan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) itu juga berhasrat untuk menampilkan ikon jenamanya iaitu penggunaan kain lycra yang akan digabungkan bersama kain satin bagi memberikan kelainan kepada pakaian yang dihasilkan supaya lebih bergaya, elegan dan mengikut syariat agama Islam supaya terus menjadi pilihan ramai.