4 Ogos 2014 – Sinar Harian
SYARIKAT Naza Tutti Frutti (M) Sdn Bhd (Tutti Frutti) membuat persediaan rapi menghadapi pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan melantik konsultan untuk mengkaji apa yang perlu dilakukan dan memberikan kefahaman dengan lebih baik mengenainya.
Pengarah Urusannya, Izham Hakimi Hamdi berkata, pihaknya menyambut baik pelaksanaan dengan kadar enam peratus yang akan dikuatkuasakan pada 1 April 2015.
“Saya menghantar kakitangan mengikuti seminar mengenai GST yang dianjurkan kerajaan dan Persatuan Francais Malaysia. Kita tidak ada masalah melaksanakannya kerana ia adalah usaha kerajaan.
“Kami menjangkakan pelaksanaan GST menyebabkan kenaikan harga produk yang disediakan. Harga itu dijangka tidak membebankan pelanggan,” katanya.
Izham Hakimi berkata, Tutti Fruitti juga bakal membuka 10 cawangan Tutti Frutti Yogurt baharu menjelang akhir tahun ini. Setakat ini, Tutti Fruitti mempunyai lebih 100 cawangan di seluruh negara.
“Tutti Frutti juga akan melakukan penambahbaikan beberapa cawangan yang sedia ada dengan memperkenalkan konsep premis baharu yang mengambil kira komposisi penduduk untuk memudahkan mereka mengunjungi cawangan kami.
“Konsep baharu Tutti Fruitti akan menyediakan ruang yang bersesuaian dengan masyarakat sekeliling berorentasikan kekeluargaan. Tutti Fruiti juga akan menambah bilangan produk baharu pada tahun ini yang bersesuaian dengan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, dengan penambahbaikan beberapa cawangannya dan produk baharu mampu memacu pertumbuhan jualan produk Tutti Frutti kepada 10 hingga 15 peratus pada tahun ini.
“Sejak dua tahun lepas, pertumbuhan jualan Tutti Fruitti memberangsangkan. Tutti Frutti menjaga kualiti rasa dan yogurt beku yang memberikan manfaat kepada kesihatan,” katanya.
Izham Hakimi berkata, Tutti Frutti juga menerima kesan kenaikan tarif elektrik yang dilaksanakan awal tahun ini.
“Kenaikan tarif elektrik memberikan impak kepada perniagaan kami kerana terpaksa membayar lebih antara RM300 ke RM400 sebulan,” katanya.