2 September 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 1 Sept. – Naza Tutti Frutti (M) Sdn. Bhd. ( Tutti Frutti) menyasarkan pertumbuhan jualan tahunan antara 10 hingga 15 peratus menjelang hujung tahun ini.
Pengarah Urusannya, Izham Hakimi Hamdi berkata, Tutti Frutti mencapai pertumbuhan tertinggi pada tahun pertama dan kedua operasinya di negara ini dengan pertumbuhan 100 peratus.
“Kami mencapai pertumbuhan jualan sehingga 100 peratus pada 2011 dan 2012 kerana pada masa itu perniagaan berkembang dengan pesat dengan pembukaan banyak cawangan-cawangan baharu.
“Ketika ini kami sudah mempunyai 105 cawangan di seluruh negara yang merupakan satu pencapaian baik. Kami jangkakan pertumbuhan tahunan kini akan meningkat antara 10 hingga 15 peratus,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Syarikat itu kini mempunyai 105 cawangan di seluruh negara selain tiga cawangan di Singapura dan masing-masing dua cawangan di Brunei serta Kemboja.
Menurutnya, Malaysia mempunyai cawangan Tutti Frutti terbanyak di luar Amerika Syarikat (AS)
Sementara itu, syarikat juga merancang untuk membuka lima lagi cawangan baharu dalam masa dua tahun ini dengan sasaran utama di Thailand.
“Thailand mempunyai potensi yang baik untuk ditembusi walaupun terdapat ketidakstabilan politik ketika ini. Kami menyasarkan akan membuka cawangan di sana menjelang hujung tahun ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Izham Hakimi juga mengunjurkan pertumbuhan jualan sebanyak 10 hingga 15 peratus pada tahun ini setelah mencapai pertumbuhan tahunan tertinggi sebanyak 100 peratus pada dua tahun pelancarannya iaitu pada 2011 dan 2013.