9 Jun 2015 – Sinar Harian
TUJUH buah negara luar akan menyertai persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 12 hingga 14 Jun ini.
Negara terbabit adalah Singapura, Indonesia, Filipina, Korea, Amerika Syarikat, Australia dan Taiwan.
Persidangan itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 13 Jun.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, FIM di bawah kelolaan kementeriannya dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA).
Beliau berkata, bertemakan ‘Leap Beyond The Limits’, FIM merupakan program francais tahunan terbesar di Malaysia begitu juga Asia Tenggara.
“Kita mengumpul pengusaha-pengusaha industri francais dari dalam dan luar negara untuk mempamerkan serta mempromosikan produk, perkhidmatan mereka di bawah satu pameran.
“Platform ini bertujuan membantu syarikat-syarikat francais membina jaringan perniagaan, perkongsian, pengetahuan, dan bertukar-bertukar idea berkenaan produk serta perkhidmatan disediakan pihak mereka.
“Peluang ini perlu direbut oleh francais kerana ia medan terbaik mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada negara luar,” katanya pada Majlis Jalinan Kasih Bank Rakyat pelancaran Rakyat Care (Ejen bank) Koperasi Kariah Masjid Kampung Pauh Terachi Kuala Pilah Berhad, di Kuala Pilah, baru-baru ini.
Hasan berkata, sejumlah 110 gerai pameran akan disediakan melibatkan potensi anggaran jualan sebanyak RM370 juta.
“Kita menganggarkan juga 12,000 pengunjung akan melawat FIM yang merupakan acara antarabangsa serta mendapat pengiktirafan daripada World Franchise Council (WFC) dan Asia – Pasific Franchise Confederation (APFC),” katanya.
Menurutnya, pada FIM 2014, sebanyak 118 gerai dengan anggaran potensi belian sebanyak RM365 juta dan jumlah pengunjung seramai 10,393 orang.
“Oleh itu saya berharap, rakyat negara ini hadir ke FIM kerana ia menjanjikan peluang perniagaan di samping menimba ilmu,” katanya.