8 Ogos 2014 – Utusan Malaysia
KOTA BHARU 5 Ogos – Rangkaian francais restoran makanan laut terkenal, The Manhattan Fish Market (MFM) melebarkan perniagaannya ke Pantai Timur negara ini dengan membuka cawangannya di pusat beli belah, KB Mall di sini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Davy Wee berkata, restoran yang dibuka secara rasmi hari ini merupakan cawangannya yang ke-25.
Beliau berkata, sehingga hujung tahun ini, pihaknya akan memiliki 62 buah cawangan di seluruh Asia dengan akan mula memasuki Tokyo, Jepun pada penghujung bulan ini.
“Selain di Malaysia, MFM mempunyai cawangan di Singapura, Indonesia, Thailand, Myanmar, Sri Lanka dan Oman.
“Dalam dua tahun kebelakangan ini, kami mampu memperolehi keuntungan sehingga RM25 juta daripada perniagaan seluruh dunia dan sekarang kami menjangkakan keuntungan yang lebih besar.
“Saya tidak boleh menentukan sasaran tetapi ia memang perniagaan yang menguntungkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pembukaan restoran tersebut di sini hari ini. Yang turut hadir, pemilik restoran The Manhanttan Fish Market Kota Bharu, Mohd. Amir Mohd. Ariff.
Mengulas mengenai pembukaan cawangan baharu itu, Wee berkata, pihaknya memilih ibu negeri ini sebagai cawangan pertamanya di Pantai Timur kerana percaya penduduk di sini gemarkan makanan laut dan suatu yang baharu.
“Sebenarnya, kami sudah meninjau di sini sejak setahun setengah yang lalu dan ada lima cadangan lokasi dan akhirnya kami memilih KB Mall.
“Kami juga berfikir sama ada mahu mengendalikannya sendiri atau difrancaiskan kepada orang lain kerana rasa jauh dan sukar untuk diuruskan, lalu kami telah memfrancaiskannya kepada Mohd. Amir Ariff yang kini merupakan pemilik MFM cawangan Kelantan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, syarikatnya itu sering disalah anggap sebagai berasal dari Amerika Syarikat (AS) kerana namanya Manhattan adalah kota di New York, AS sedangkan realitinya dari Malaysia.
“Ramai yang fikir ia dari AS sedangkan realitinya ia bermula di Malaysia. Cawangan pertamanya di Midvalley, Kuala Lumpur kira-kira 14 tahun lalu.