26 January 2015 – Harian Metro
Kuala Lumpur: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) berhasrat memperkukuhkan industri francais tempatan menerusi pelaksanaan lawatan perdagangan asing dengan meneroka sekitar 15 pasaran asing baru tahun ini.
Tahun lalu, 11 pasaran asing diteroka PNS dengan membawa sekitar 10 dan 13 usahawan francais tempatan ke beberapa negara berpotensi termasuk Taiwan.
Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodkhi Shahabudin berkata, tahun ini antara lokasi perdagangan asing yang dikenal pasti seperti Sydney, Korea Selatan, Surabaya dan Dubai memandangkan ia mempunyai pasaran luas bagi usahawan tempatan.
Beliau berkata, antara sektor yang menjadi tumpuan tahun ini adalah makanan dan minuman, pendidikan dan produk kesihatan.
“PNS mahu lebih ramai usahawan francais tempatan meneroka pasaran asing kerana mereka boleh meningkatkan pengaruh produk ke peringkat global serta meningkatkan keuntungan syarikat.
“Daripada segi kewangan kami sentiasa membantu usahawan francais untuk menambah kewangan mereka sekiranya mempunyai kelayakan dan perniagaan yang baik,” katanya kepada Bisnes Metro.
Tahun lalu, PNS memberi bantuan kewangan kepada 300 usahawan francais dalam pelbagai sektor dengan nilai RM47 juta dan tahun ini ia menjangkakan memberi pembiayaan kepada jumlah usahawan sama seperti tahun lalu dengan margin pembiayaan antara 50 hingga 70 peratus.
Syed berkata, pihaknya tidak memberi pembiayaan 100 peratus kepada usahawan bagi mengawal keadaan pembiayaan tidak berbayar (NPL) dan mendidik usahawan lebih bertanggungjawab kepada perniagaan mereka.
Katanya, tahun lalu, PNS mencatatkan NPL 19 peratus dan angka ini sentiasa menurun setiap tahun dengan adanya pengawalan margin pembiayaan.
“Kami tidak mahu memberi wang dengan mudah kepada usahawan untuk membuka perniagaan kerana ada di antaranya tidak bersifat serius dalam menceburi bidang itu dan akhirnya mensia-siakan wang berkenaan,” katanya.